KKM masih tunggu pengesahan punca kematian guru di Sabah


Kementerian masih menunggu pengesahan punca sebenar kematian seorang guru di Sabah, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan masih menunggu pengesahan punca sebenar kematian seorang guru lelaki sebuah sekolah di Semporna, Sabah, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar The Star, hari ini, tentang kematian seorang guru lelaki yang didakwa kerana Covid-19 sehingga wujud kemungkinan semua sekolah di Sabah akan ditutup selama dua minggu.

“Kami perlukan pengesahan sebelum boleh kata yang guru itu meninggal kerana Covid-19.

“Bagaimanapun, sekolah terlibat sudah mengambil langkah proaktif dengan ditutup selama dua minggu serta menjalankan proses disinfeksi bangunan,” katanya pada sidang media hari ini.

Dr Noor Hisham bagaimanapun hanya menyebut tentang sekolah terlibat, walaupun laporan berita menyatakan ia mungkin menjejaskan semua sekolah di Sabah.

The Star memetik sumber Kementerian Pendidikan tidak dinamakan dalam laporannya.

Laporan turut memetik kenyataan Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Dr Mistrine Radin yang berkata guru lelaki itu meninggal kerana Covid-19.

Mistrine berkata semua 50 buah sekolah di Semporna sudah ditutup kerana pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) sehingga 12 Oktober depan.

Sabah terus merekodkan jumlah kes harian yang tinggi dengan 113 kes dilaporkan hari ini.

Empat wilayah di negeri itu -Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna- kini berstatus zon merah Covid-19. – 2 Oktober, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen