KEMENTERIAN Kesihatan mengenalpasti dua kluster baharu Covid-19 di Selangor yang sehingga kini melaporkan 18 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster pertama adalah Kluster Seri Setia dengan kes indeks seorang lelaki warga Malaysia berusia 36 tahun yang mempunyai rekod perjalanan ke Semporna, Sabah bermula 16 hingga 20 September lalu.
Beliau disahkan positif pada 27 September dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.
Saringan kontak rapat kes indeks menemui tiga lagi kes positif. Mereka semua dimasukkan ke hospital untuk rawatan.
Setakat tengahari tadi, 23 orang sudah disaring dengan empat didapati positif manakala 14 lagi negatif. Lima orang lagi masih menunggu keputusan ujian.
Kluster kedua adalah Kluster Seri Anggerik dengan 14 belas kes positif.
Dr Noor Hisham berkata, kes indeks kluster itu adalah lelaki warga Malaysia berusia 37 tahun yang juga pergi ke Sabah pada 9 hingga 18 September lalu.
Beliau disah positif pada 26 September dan sedang menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh.
Saringan lanjut mendapati jumlah kes kluster itu adalah 14 dan semuanya sedang menjalani rawatan di hospital sama.
15 orang lagi disahkan negatif dan 38 orang masih menunggu hasil ujian.
Sumber jangkitan kedua-dua kluster masih dalam siasatan, kata Dr Noor Hisham lagi.
Malaysia hari ini merekodkan 287 kes baharu Covid-19, dengan Kedah melaporkan kes tertinggi sebanyak 129 diikuti Sabah dengan 113 kes.
Selangor pula melaporkan 31 kes baharu.
Pertambahan dua kluster baharu itu menjadikan jumlah kluster aktif dalam negara kepada 30, kata Dr Noor Hisham.
Tambahnya, 128 daripada 287 kes baharu hari ini berasal dari Kluster Tembok yang melibatkan sebuah penjara di Kedah.
113 kes di Sabah pula berasal dari kluster yang terdapat di empat zon merah negeri itu- Semporna, Tawau, Lahad Datu dan Kunak.
Katanya lagi, 20 kes baharu ini mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.
Dr Noor Hisham turut menggesa rakyat terus berhati-hati dan mengamalkan langkah pencegahan penularan wabak dikeluarkan pihak berkuasa.
Katanya, kemunculan kluster baharu hari ini juga jadi petunjuk yang penguatkuasaan SOP lebih tegas perlu dilakukan. – 2 Oktober, 2020.
Komen