POLIS menafikan isu tular di media sosial bahawa seorang anggota pasukan keselamatan itu yang disahkan positif Covid-19 tidak mematuhi arahan kuarantin selepas balik dari Sabah.
Timbalan Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed berkata pihaknya mendapati anggota dari Balai Polis Bukit Puchong itu telah bercuti di Semporna pada 9 September dan kembali bertugas di Semenanjung pada 26 September lepas.
“Anggota berkenaan telah mematuhi arahan kuarantin sebagaimana yang diarahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia yang mensyaratkan setiap orang yang baru balik dari Sabah diwajibkan menjalani perintah kuarantin selama 14 hari di rumah bermula 27 Sept tahun ini.
“Polis Kontinjen Selangor mengesahkan bahawa fakta yang ditularkan dan mengatakan anggota itu tidak mematuhi arahan kuarantin dengan mengunjungi Pasaraya AEON BIG Puchong Utama adalah tidak benar,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan mendapati anggota itu tidak pernah melanggar perintah kuarantin dengan mengunjungi mana-mana tempat dalam tempoh kuarantin. – Bernama, 2 Oktober, 2020.
Komen