KONVENSYEN MIC yang sepatutnya berlangsung di seluruh negara bermula hari ini sehingga 8 Okt depan, ditangguhkan serta-merta berikutan penularan wabak Covid-19 yang membimbangkan kini.
Timbalan Presiden MIC M. Saravanan berkata presiden parti, S.A. Vigneswaran telah mengeluarkan arahan mengenai perkara berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga susulan peningkatan jumlah jangkitan Covid-19 yang begitu ketara.
“Hari ini, sepatutnya konvensyen MIC berlangsung di Perak, Kedah dan Perlis tetapi ia ditangguhkan. Kesemua mesyuarat di peringkat negeri dan pusat turut ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian,” kata Saravanan yang juga Menteri Sumber Manusia.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tapah bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Program Penjana Inisiatif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) Pembangunan B40 Kursus Asas Jahitan Pengenalan dan Kursus Penggunaan Mesin Jahit Tepi di Dewan Merdeka hari ini.
Semalam, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan memaklumkan semua mesyuarat serta persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda, Puteri dan Bahagian Umno ditangguhkan susulan peningkatan kes Covid-19 berkuat kuasa serta-merta. – Bernama, 2 Oktober, 2020.
Komen