PAS arah tangguh semua program parti


Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata peningkatan mendadak kes Covid-19 beberapa hari kebelakangan ini mencetuskan kebimbangan semua pihak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2020.

PAS mengarahkan supaya semua program parti yang melibatkan orang ramai ditangguhkan berikutan penularan semula wabak Covid-19.

Presidennya, Abdul Hadi Awang berkata peningkatan mendadak kes beberapa hari kebelakangan ini mencetuskan kebimbangan semua pihak dan penangguhan semua program perlu dilaksanakan sehinggalah mendapat maklumat perkembangan semasa daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kedua, program yang masih perlu diadakan pula perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan KKM,” katanya ketika ditemui pemberita selepas kuliah Jumaat di Masjid Rusila, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata PAS  merancang untuk menganjurkan majlis sambutan ulang tahun Piagam Muafakat Nasional (MN) bersama Umno bagi mengeratkan kerjasama dan memperkukuh semangat MN serta kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun katanya, tarikh sambutan tersebut masih belum ditetapkan dan perbincangan lanjut akan diadakan bersama pihak berkaitan.

“Kami nak teruskan semangat MN dan PN. Insya-Allah kami minta atur supaya diadakan ulang tahun piagam ini. Kami akan bertemu dengan rakan Umno

 untuk bincangkan hal ini,” katanya. – Bernama, 2 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen