SEMUA institusi pengajian tinggi (IPT) dicadang menangguhkan terlebih dahulu pendaftaran bersemuka pelajar baharu dan lama ke kampus, yang dijadual bermula bulan ini, cadang Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Sebelum ini, menterinya Noraini Ahmad mencadangkan penangguhan sama melibatkan pelajar dari kawasan yang dikelaskan sebagai zon merah jangkitan Covid-19.
Dalam satu kenyataan, KPT berkata cadangan meliputi semua IPT dibuat susulan peningkatan kes Covid-19 menjelang tarikh kemasukan pelajar.
“KPT turut prihatin mengenai kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan pelajar-pelajar, staf universiti dan semua pihak yang terlibat.
“Justeru, KPT mencadangkan kepada semua IPT untuk menangguhkan dahulu pendaftaran secara fizikal/bersemuka pelajar-pelajar baru dan lama ke kampus,” kata kenyataan itu.
Bagi pelajar yang telah membeli tiket penerbangan untuk pulang ke IPT masing-masing, perkara berkenaan telah dirundingkan oleh pihak KPT dengan syarikat penerbangan, kata kementerian
“Hasil rundingan tersebut, syarikat-syarikat penerbangan telah bersetuju menjadualkan semula penerbangan pelajar sehingga 31 Disember 2020,” kata kenyataan itu.
Semua urusan pendaftaran pelajar boleh dibuat secara dalam talian, jelas kementerian, manakala kuliah secara bersemuka ditangguhkan sehingga akhir bulan ini atau sehingga pengumuman baru mengenainya dibuat.
Kementerian juga mencadangkan semua IPT menangguhkan semua program atau aktiviti di kampus yang melibatkan perhimpunan, susulan peningkatan kes Covid-19 minggu ini.
“Bagi pelajar yang telah berada di kampus dan sedang mengikuti aktiviti akademik, mereka boleh kekal berada di kampus masing-masing.
“Pihak IPT diminta membantu segala keperluan yang diperlukan oleh kumpulan pelajar ini,” kata kementerian.
Maklumat lanjut mengenai pergerakan balik ke kampus dan sesi pengajian akan dijelaskan oleh IPT masing-masing, kata kementerian.
Semalam Kementerian Kesihatan mengumumkan pertambahan 260 kes baharu Covid-19 di seluruh Malaysia, menjadikannya kes harian kedua tertinggi sejak wabak melanda.
Kes baharu harian tertinggi yang pernah dicatatkan ialah sebanyak 277 kes, yang dikesan pada 4 Jun.
The Malaysian Insight difahamkan beberapa universiti juga secara tidak rasmi sudah memaklumkan kepada pelajar untuk menangguhkan terlebih dahulu perjalanan mereka bagi pendaftaran yang dijadual pada hujung minggu ini.
Beberapa universiti juga sudah menangguhkan pendaftaran fizikal serta minggu suai kenal, yang kedua-dua akan berjalan secara dalam talian.
Antara yang berbuat demikian setakat ini termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Pertahanan Nasional (UPNM). – 2 Oktober, 2020.
Komen