AHLI Parlimen Umno Najib Razak menyalahkan bekas ketua menteri Sabah Mohd Shafie Apdal atas peningkatan semula kes Covid-19 kerana membubarkan DUN.
Bekas perdana menteri itu berkata kes Covid-19 meningkat apabila pilihan raya negeri (PRN) terpaksa diadakan pada 26 September ekoran tindakan Shafie, katanya.
Malah tindakan Shafie membubarkan Dewan yang membolehkan pilihan raya itu diadakan menunjukkan presiden Warisan itu tidak mempedulikan rakyat, katanya di Facebook.
“Shafie tidak kisah. Sebaliknya, Shafie suruh orang yang positif Covid-29 dibenarkan mengundi manakala pemimpin Warisan (Mohammaddin) Ketapi menuduh bahawa kenaikan kes Covid-19 di Sabah cuma satu wayang.
“Masa itu juga, pemimpin PH (Pakatan Harapan) lain memuji keberanian Shafie untuk membubarkan DUN supaya PRN boleh berlangsung,” katanya.
Beliau juga mempertahankan tempoh kuarantin selama tiga hari sahaja bagi perjalanan dari Sabah selepas PRN tersebut, yang dikaitkan dengan peningkatan kes seluruh negara.
Ramai individu dilaporkan positif selepas ujian dijalankan selepas kuarantin hanya selama tiga hari dan bukan 14 hari seperti amalan terdahulu.
Dakwa, tempoh itu ekoran bantahan dari kumpulan penyokong PH yang menurutnya bimbang ia menakutkan pengundi.
“Geng PH juga membantah arahan kuarantin dikeluarkan bagi mereka yang pulang dari Sabah ke semenanjung Malaysia dengan alasan bahawa ini akan melanggar demokrasi dan menakut-nakutkan pengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian dengan mengaitkan satu kenyataan bekas menteri DAP Teresa Kok dan gabungan NGO Bersih 2.0 yang mempersoalkan jika kuarantin itu menekan hak mengundi.
Beliau pada masa sama mempertahankan tindakan bekas ketua menteri Sabah Musa Aman yang cuba mengambil alih kerajaan Sabah dengan mendakwa memperolehi majoriti wakil rakyat.
Gabungan parti PN dan BN juga tidak wajar dipersalahkan kerana mereka tidak mahu PRN diadakan, katanya.
“Ya, memang benar bahawa orang politik merumitkan keadaan dan sudah tentu kehadiran kita dari semenanjung di Sabah telah menaikkan risiko Covid-19 ditular.
“Tetapi saya rasa ianya tidak adil untuk salahkan PN atau BN sahaja sebab kita memang tidak mahu PRN Sabah diadakan,” katanya.
Najib mengulas kritikan yang timbul susulan peningkatan sehingga 260 kes semalam, kebanyakannya tertumpu di Sabah dan menular ke negeri lain.
Pemimpin dan aktivis parti yang berkempen semasa PRN Sabah merupakan antara individu yang didapati menjadi kes indeks bagi penularan di semenanjung.
Arahan untuk tidak menguatkuasa kuarantin wajib ke atas individu yang pulang dari Sabah disahkan Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob pada 12 September.
Pada waktu itu, jangkitan Covid-19 menjadi kebimbangan di Sabah sewaktu tempoh kempen PRN itu sedang berlangsung.
Namun Ismail berkata dakwaan untuk menguatkuasa kuarantin wajib itu maklumat palsu.
“Itu berita palsu. Tidak ada konon-kononnya saya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengatakan bahawa yang balik daripada Sabah ke semenanjung akan di kuarantin.
“Tidak betul dan pergerakan dari Sabah ke semenanjung masih bebas seperti dahulu.
“Kalau ada pengumuman mengenai kawalan, saya yang akan buat. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pun saya yang buat pengumuman,” katanya seperti dikutip Harian Metro.
Sewaktu berkempen berkempen untuk calon Barisan Nasional (BN) di Bandar Labuk Jaya itu, Ismail juga berkata keadaan di Tawau dan Lahad Datu tidak berbahaya.
“Ramai yang membuat rumusan seolah-olah menggambarkan Tawau dan Lahad Datu dalam keadaan yang bahaya ramai yang takut nak keluar,” katanya.
Peningkatan kes mendadak seterusnya menyebabkan Tawau dan Lahad Datu, serta dua lagi daerah Kunak dan Semporna diletakkan bawah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar.
Kerajaan juga semalam mengumumkan larangan merentas daerah di seluruh Sabah berkuatkuasa esok apabila 118 daripada 260 kes baharu dikesan di negeri itu.
Sebanyak 31 daripada kes baharu di semenanjung pula melibatkan pesakit dengan sejarah perjalanan ke Sabah menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau juga menjelaskan individu yang tiba dari Sabah hanya disaring pada 27 September untuk mengelakkan persepsi kerajaan mahu menyekat pengundi keluar menjalankan tanggungjawab. – 2 Oktober, 2020.
Komen
Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Anak Malaysia · Ulasan