POPULASI pendatang asing yang besar di Selangor menjadi faktor membimbangkan dengan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di negeri itu, kata pakar epidemiologi Universiti Malaya Dr Awang Bulgiba.
“Jika virus itu masuk dalam populasi itu, sukar untuk ditangani kerana mereka sukar dikesan dan diasingkan,” katanya kepada The Star.
Teknik menghantar pesanan yang berbeza diperlukan untuk menangani isu ini dan mendidik pendatang warga asing, dan dicadangkan supaya membabitkan pakar tingkah laku, katanya kepada akhbar itu.
“Mesej perlu disampaikan dengan sempurna, dan perlu disasarkan kepada pelbagai kumpulan berbeza. Perlu ada pembabitan ketua mereka.
“Orang ramai perlu berasakan mereka adalah sebahagian daripada peperangan terhadap pandemik ini,” katanya dipetik sebagai berkata.
Pada Rabu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata Covid-19 merebak lebih cepat di Selangor berbanding di Sabah.
Noor Hisham berkata nilai Rt (kebolehjangkitan) Selangor 1.95 sementara Sabah 1.26. Nilai Rt digunakan untuk mengira berapa pantas Covid-19 merebak.
“Kenaikan nilai Rt Selangor disebabkan jumlah peningkatan jangkitan harian baharu antara 10 dan 15 berbanding dua dan tiga sebelum ini,” katanya.
Nilai Rt di Malaysia ialah 1.25.
Malaysia semalam merekodkan 260 kes baharu, kedua tertinggi dalam jangkitan harian di negara ini sejak 277 kes pada 4 Jun.
Empat kluster baharu dikesan semalam iaitu di Selangor, Sabah, Putrajaya dan Kedah.
Lonjakan kes baharu dilaporkan susulan pilihan raya negeri Sabah pada hujung minggu lalu. – 2 Oktober, 2020.
Komen