Restoran tukar cara berniaga, cuba bertahan dalam ekonomi lembab


Angie Tan

Operator restoran tukar model perniagaan mereka sebagai cara berdepan dengan pandemik Covid-19 yang menyebabkan mereka mengalami kerugian besar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2020.

OPERATOR restoran menukar model perniagaan mereka sebagai cara berdepan dengan pandemik Covid-19 yang menyebabkan mereka mengalami kerugian besar.

Mereka bimbang ekonomi lembab yang berterusan, ditambah dengan berakhirnya moratorium bayaran pinjaman balik bank, akan menyebabkan pelanggan semakin berkurangan.

Bagi terus mengekalkan pelanggan, dan menarik pelanggan baharu, pengendali restoran mengguna pakai beberapa langkah untuk memperoleh keuntungan cepat.

Antara langkah yang diperkenalkan ialah menjual makanan siap bungkus, penghantaran makanan ke rumah dan menukar kepada menu lebih ekonomi.

Beberapa pemilik perniagaan juga menukar restoran menjadi pusat perniagaan cara gerai.

Presiden Persatuan Tukang Masa dan Restoran Koo Soo Pan Malaysia Wong Teu Hoon berkata perubahan itu diperlukan, sekurang-kurangnya untuk memperoleh pendapatan yang cukup bagi membayar sewa dan gaji pekerja.

“Ada restoran di Sarawak dan Melaka bertukar untuk menyediakan perkhidmatan secara lebih terbuka bagi meningkatkan perniagaan.

“Dan cef di Johor menjual makanan mereka pada harga seperti di warung,” kata Wong.

Beliau berkata restoran juga beralih menjual set makan tengah hari yang berpatutan antara RM8 hingga RM12, lengkap dengan sup dan minuman.

“Ia konsep serupa dengan warung jual makanan ekonomi, tetapi di restoran berhawa dingin,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Katanya, model perniagaan itu tidak menguntungkan kecuali jika ia dapat menarik sejumlah besar pelanggan.

“Kos mengendalikan restoran sangat tinggi, ada ramai pekerja dan sewa mahal. Tetapi, dalam keadaan sekarang, itu saja caranya kita dapat bergerak.”

Wong berkata pada masa dulu beliau tidak gemar mendesak jualan dan promosi, tetapi sekarang beliau terpaksa berbuat demikian untuk menarik pelanggan. – 2 Oktober, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen