SEKUMPULAN kecil perebak utama bertanggungjawab bagi hampir dua pertiga kes koronavirus di India, menurut penyelidikan baharu mengenai bagaimana penyakit ini merebak di negara kedua paling ramai penduduk di dunia itu.
India secara rasmi mencatatkan 6.3 juta kes setakat ini - kedua selepas Amerika Syarikat (AS) - dan lebih 98,000 kematian.
Tetapi kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science pada Rabu, mendapati 70% mereka yang dijangkiti di seluruh negara tidak menyebarkan penyakit ini kepada orang lain.
Sebaliknya, 8% daripada mereka yang membawa virus bertanggungjawab terhadap 60% jangkitan baharu.
Kajian itu juga mendapati kanak-kanak di bawah usia 14 tahun merupakan penyebar virus yang lebih efisien.
“Penemuan menunjukkan tidak semua individu sama menularkannya dan juga kanak-kanak berpotensi penting dalam rantai penularan,” kata penulis utama kajian itu, Ramanan Laxminarayan kepada AFP.
Penyelidik mengkaji penularan virus di antara lebih setengah juta orang yang terdedah kepada 85,000 kes yang disahkan di Andhra Pradesh selatan India dan negeri Tamil Nadu pada Ogos.
Tindak balas India terhadap pandemi koronavirus terhalang oleh sistem penjagaan kesihatannya yang mengalami kekurangan dana kronik.
Negara ini secara beransur-ansur menarik balik perintah sekatan ketat pada Mac bagi menghidupkan kembali ekonomi negara yang dilanda waba, walaupun jangkitan terus meningkat. – AFP, 2 Oktober, 2020.
Komen