Hampir 20,000 pekerja Amazon dijangkiti Covid-19


Amazon meningkatkan ujian Covid-19 hingga 50,000 sehari di semua 650 cawangannya. – Gambar AFP, 2 Oktober, 2020.

AMAZON pada Khamis berkata lebih 19,800 pekerjanya positif Covid-19 sejak awal Mac.

Data syarikat e-dagang gergasi yang mempunyai 1.37 juta pekerja barisan hadapan, termasuk di Whole Foods Market di Amerika Syarikat, menunjukkan kadar jangkitan lebih rendah berbanding jangkaan, kata Amazon.

Pendedahan jumlah itu dibuat ketika beberapa pekerja di pusat logistik mengkritik keselamatan syarikat dalam melindungi mereka daripada wabak tersebut dan juga keengganannya berkongsi maklumat mengenai rakan sekerja yang dijangkiti.

Amazon meningkatkan ujian hingga 50,000 sehari di semua 650 cawangannya, menurut syarikat yang berpusat di Seattle itu.

“Sejak awal krisis ini, kami bekerja keras memastikan pekerja sentiasa mendapat sebarang maklumat, memberitahu mereka mengenai setiap kes baharu di bangunan mereka,” kata Amazon dalam catatan blognya yang berkongsi kadar jangkitan Covid-19 di kalangan pekerja barisan hadapannya.

Jika kadar jangkitan di kalangan pekerja Amazon dan Whole Foods sama dengan populasi umum AS, jumlah kes akan mencecah 33,000, menurut syarikat itu. – AFP, 2 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen