PENUMPANG di Lapangan Terbang Antarabangsa Tampa di Florida mulai Khamis boleh mengambil ujian pantas koronavirus, kata para pegawai, yang mendakwa ia lapangan terbang pertama di Amerika Syarikat (AS) yang menawarkan ujian sedemikian.
Dalam program perintis ini, pelanggan boleh membayar AS$57 untuk ujian antibodi selama 15 minit, atau AS$125 untuk ujian PCR molekul, yang memerlukan masa lebih lama tetapi dianggap lebih tepat, kata pegawai lapangan terbang.
Gabenor, Ron DeSantis pada Selasa berkata Florida, yang mempunyai 21 juta penduduk, akan segera mendapat akses kepada 6.4 juta ujian pantas, dengan bahagian pertama tiba minggu ini.
Kit pertama akan dihantar ke rumah jagaan dan sekolah, katanya.
Kes koronavirus di Florida menurun selepas memuncak pada Julai, dengan jumlah tertinggi 15,300 kes baharu sehari. Pada masa itu ia adalah salah satu pusat wabak negara.
Sepanjang tempoh dua minggu terakhir, Florida melaporkan hampir 2,500 kes baharu sehari - walaupun jumlah ujian menurun dengan banyak.
Susulan itu, DeSantis pada 25 September membuka kembali perniagaan Florida, menarik balik sekatan di bar dan restoran, dan menghalang datuk bandar mendenda orang kerana tidak menggunakan pelitup muka muka, keputusan yang mengejutkan pihak berkuasa tempatan.
Menurut Johns Hopkins University, yang memantau penyebaran virus, kadar positif ujian Florida adalah 11%, walaupun Jabatan Kesihatan Florida mengatakan ia sekitar 5%.
Menurut media tempatan, perbezaan tersebut disebabkan angka rasmi Florida tidak termasuk ujian positif, yang memberi kesan kepada keputusan akhir.
Lebih 100 orang meninggal dunia akibat Covid-19 dalam tempoh tiga hari lalu, menjadikan purata korban virus kepada 94 orang dalam seminggu terakhir, lapor Tampa Bay Times pada Khamis. – AFP, 2 Oktober, 2020.
Komen