MENAMAKAN Bung Moktar Radin sebagai timbalan ketua menteri Sabah adalah tindakan tidak bijak kerajaan baharu Gagasan Rakyat Sabah (GRS), kata kumpulan masyarakat sivil dan aktivis.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight yang Bung masih berdepan pertuduhan rasuah dan jika dibenarkan memegang jawatan dalam kerajaan, ia boleh menjejaskan demokrasi.
Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) berkata pelantikan Bung sebagai timbalan ketua menteri Sabah boleh jadi petunjuk kemungkinan pertuduhan jenayah ke atasnya digugurkan pada masa depan dan politikus itu dibebaskan daripada semua pendakwaan.
“Ia menghantar petunjuk yang pertuduhan mungkin digugurkan. Dalam keadaan ekonomi kita bergelut untuk bangkit semula dan pelaburan asing sangat diperlukan, tindakan berkompromi dengan integriti dan tadbir urus baik tidak boleh dibuat,” kata Pengarah Komunikasi Awam Patriot Kapten (Bersara) Wong Ang Penghe.
Bung, 60, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan RM2.2 juta dan RM262,500 untuk mendapatkan kelulusan Felca bagi pelaburan unit amanah produk Public Mutual bernilai RM150 juta.
Bung yang ketika itu adalah pengerusi bukan eksekutif Felcra dituduh menerima suapan daripada agen pelaburan Public Mutual Madhi Abdul Hamid, 38, menerusi isterinya, Zizie A Samad.
Tambah Wong lagi, sangat membimbangkan yang Bung dilantik ke jawatan tinggi kerana ia turut menggambarkan kekurangan pemimpin berkualiti daripada pakatan pemerintah.
“Patriot terkejut melihat seseorang yang berdepan perbicaraan rasuah dilantik sebagai timbalan ketua menteri.
“Pastinya GRS mempunyai pemimpin lebih baik untuk dilantik. Pelantikannya menunjukkan parti pemerintah kita kekurangan orang berintegriti,” katanya.
Bung tidak dilantik ke dalam Kabinet Perdana Menteri Muhyiddin Yassin selepas Perikatan Nasional menjadi kerajaan Persekutuan pada Mac lalu.
Turut tidak tersenarai ialah bekas perdana menteri Najib Razak, bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi, bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor, bekas ketua menteri Sabah Musa Aman, bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri Ahmad Maslan dan Abdul Azeez Abdul Rahim yang merupakan bekas pengerusi Tabung Haji.
Kesemua mereka berdepan pertuduhan jenayah melibatkan pelbagai kesalahan seperti salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan rasuah.
Bekas presiden Aliran P Ramakrishan berkata sekiranya Bung disabit bersalah pada Januari apabila perbicaraan kesnya bersambung, beliau perlu mengosongkan jawatan yang baharu dipegangnya.
“Dia akan mencemarkan pejabat timbalan ketua menteri dengan tindakannya,” kata Ramakrishnan.
Ramakrishnan juga menimbulkan kebimbangan dengan porfolio baharu Bung, pembangunan infrastruktur, yang didesak diberikan kepadanya.
“Bung sangat berterus terang sehingga boleh menuntut portfolio pilihannya dan anehnya dia dapat.
“Mengapa dia perlukan portfolio ini? Rakyat sedar yang portfolio ini melibatkan banyak kontrak,” kata Ramakrishnan kepada The Malaysian Insight.
Wujud kekecohan selepas Hajiji Mohd Noor daripada Bersatu dilantik sebagai ketua menteri dan Bung tidak gembira dengan portfolio perumahan dan kerajaan tempatan diberikan kepadanya.
Selepas perbincangan hangat, Bung dan Masidi Manjun (Bersatu) bertukar portfolio.
Sementara itu, Setiausaha Agung Yayasan Anti Rasuah Malaysia Md Alimuddin Rahim berkata, yang Bung masih belum dibuktikan bersalah oleh mahkamah.
“Dia dalam siasatan dan belum disabitkan lagi.
“Kita kena tunggu keputusan mahkamah. Selepas itu dia sama ada buat rayuan atau letak jawatan,” katanya.
Bung dilantik timbalan ketua menteri selepas Umno beralah menyerahkan jawatan ketua menteri kepada Bersatu selepas PRN Sabah.
Perikatan Nasional menang 17 kerusi dengan Bersatu menyumbang 11 dan Umno pula 14 kerusi. – 2 Oktober, 2020.
Komen