KETUA Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan beberapa orang politikus yang pergi ke Sabah untuk pilihan raya sah positif Covid-19.
“Kita ada beberapa ahli politik yang disah positif dan untuk kontak rapat kes positif kami kuarantin mereka selama 14 hari,” katanya pada sidang media mingguan, hari ini.
Bagaimanapun, Dr Noor Hisham tidak mendedahkan identiti politikus yang positif Covid-19 kerana ia melibatkan dasar kerahsiaan maklumat pesakit.
“Saya tak boleh beri nama sesiapa kerana ia bercanggah dengan kerahsiaan maklumat pesakit tetapi yang pasti beberapa orang ahli politik diuji positif.”
Tambahnya lagi, Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi kerana tempoh dua minggu akan datang dianggap penting untuk menilai situasi penularan Covid-19.
Sebelum ini dilaporkan yang Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Razlan Rafii dan Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan antara politikus yang sah positif Covid-19 selepas dijangkiti ketika berkempen di PRN Sabah.
Manakala, calon Barisan Nasional DUN Pitas Sufian Abdul Karim menjadi calon pertama yang disahkan positif Covid-19. – 1 Oktober, 2020.
Komen