2 minggu sebelum PRN Sabah, kami sudah buat kerja, kata KP Kesihatan


Ragananthini Vethasalam

PRN Sabah perlu dilakukan tetapi langkah pencegahan wabak juga diperhebat, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2020.

DUA minggu sebelum Pilihan Raya Negeri Sabah Sabtu lepas, Kementerian Kesihatan sudah mengambil semua tindakan diperlukan untuk mengatasi lonjakan jangkitan Covid-19 di negeri itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Langkah itu termasuklah menutup semua pasar tempatan, mengenakan 98 sekatan jalan raya dan kawalan sempadan serta menghantar pegawai dan alatan perubatan ke sana, tambahnya.

Bercakap pada taklimat mingguan di Putrajaya hari ini, Dr Noor Hisham menjelaskan yang semua persediaan wajib sudah dilakukan walaupun kerajaan mengumumkan perintah kawalan pergerakan diperketat di empat zon merah Sabah hanya selepas hari mengundi, 26 September.

Beliau merujuk kepada pengumuman Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob pada 28 September yang empat zon merah di Sabah- Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu- akan diletakkan di bawah PKPD selepas merekodkan 1,000 kes Covid-19 dalam tempoh hanya 27 hari.

“Sebab kami tak umumkan PKPD lebih awal kerana jika kami umumkan (awal), itu bermakna kami paksa orang duduk di rumah.

“Secara tak langsung, kami tak mahu dilihat sebagai menghalang orang keluar mengundi,” tambahnya.

Disebabkan itu, katanya lagi, walaupun langkah pencegahan kesihatan awam dibuat lebih awal, ia hanya ketara dilaksanakan selepas pengumuman dibuat.

KKM juga mengenal pasti enam hospital dengan 552 katil di Sabah yang akan menerima dan merawat pesakit bergejala dan berada pada tahap serius jangkitan.

Terdapat juga, 66 katil dalam ICU dengan 139 alat bantuan pernafasan yang dikhaskan untuk rawatan pesakit Covid-19 di Sabah.

Tambahnya, 60% daripada katil hospital dan 12% katil ICU dikhaskan untuk pesakit Covid-19.

Selain itu, KKM juga sudah mewujudkan hospital bergerak yang menjadi pusat kuarantin bagi mereka yang berisiko rendah dan tidak bergejala.

Dr Noor Hisham turut menjelaskan kekeliruan tentang syarat ujian swab kedua untuk mereka yang pulang dari Sabah yang sudah diuji negatif pada ujian pertama, serta perbezaan arahan kuarantin rumah dengan mereka yang kembali dari luar Malaysia.

Mereka yang pulang dari luar negara perlu menjalani kuarantin 14 hari dan ujian swab kedua pada hari ke-13 bagi mengesahkan status bebas daripada virus itu.

Bagaimanapun, mereka yang pulang dari Sabah dan sudah diuji negatif hanya perlu menjalani kuarantin beberapa hari berbanding 14 hari iaitu tempoh inkubasi virus.

“Ia tidak bermakna bila kami kata kuarantin mandatori sudah tamat, anda bebas, ia bermakna tanggungjawab anda sendiri untuk kawal diri dan kuarantin kendiri di rumah.

“Jika anda ada gejala, hubungi kami dan kami akan sediakan rawatan diperlukan,” tambahnya.

Jelasnya lagi, dasar rentas negeri dari zon merah ke tempat lain terpakai ke semua negeri yang mempunyai atau pernah ada zon merah, menambah yang tidak adil untuk mengenakan dasar berlainan kepada Sabah sahaja.

Terdapat 1,045 kes aktif di Sabah manakala 119 kes aktif di negeri lain pula mempunyai sejarah perjalanan ke negeri itu. – 1 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen