UMP tangguh kemasukan pelajar dari Sabah, zon merah


Kemasukan pelajar yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah dalam tempoh 14 hari sebelum tarikh pendaftaran juga ditangguhkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2020.

UNIVERSITI Malaysia Pahang (UMP) menangguhkan urusan kemasukan pelajar dari Sabah dan zon merah secara bersemuka di kampus Pekan dan Gambang di Kuantan, yang dijadual bermula secara berperingkat mulai 12 Oktober ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP Profesor Dr Yuserrie Zainuddin berkata kemasukan pelajar yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah dalam tempoh 14 hari sebelum tarikh pendaftaran juga adalah ditangguhkan. 

“Arahan penangguhan kemasukan pelajar secara fizikal ini meliputi semua peringkat pengajian dan kategori pelajar. Proses pendaftaran pelajar baharu dari Sabah dan zon merah hendaklah dilakukan secara dalam talian. 

“Mereka akan dibenarkan hadir di UMP mengikut prosedur sedia ada selepas keadaan di negeri atau kawasan itu kembali pulih,” menurutnya dalam kenyataan di Kuantan hari ini. 

Beliau juga memaklumkan bahawa proses pendaftaran pelajar baharu dilakukan secara dalam talian mulai 5 hingga 9 Oktober bagi tujuan pengaktifan status sebagai pelajar UMP termasuk tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Yuserrie berkata langkah itu adalah selari dengan kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi yang menyarankan semua institusi pengajian tinggi menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar baharu dan lama dari kawasan zon merah secara bersemuka yang dijadualkan bermula Oktober ini.

Untuk rekod, Sabah ketika ini mencatatkan penularan kes positif Covid-19 yang agak membimbangkan. 

Bagi pelajar lama dan baharu dari negeri selain Sabah dan zon merah, kemasukan mereka adalah kekal mengikut jadual dengan pematuhan kepada panduan serta prosedur operasi standard yang ditetapkan pihak berkuasa. 

“Pelaksanaan minggu induksi siswa serta aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran akan diteruskan mengikut jadual secara dalam talian mengikut kalender akademik UMP,” katanya. – Bernama, 1 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen