260 kes baharu Covid-19 angka kedua tertinggi


KKM berharap pendekatan agresif akan berjaya mengurangkan kes di Sabah melalui larangan rentas daerah di seluruh negeri itu bermula Sabtu dan kawalan ketat di empat daerah yang masih berjalan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan bimbang dengan peningkatan kes yang melonjak kepada 260 kes baharu hari ini, kata ketua pengarahnya Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, angka itu kedua tertinggi selepas angka tertinggi 277 kes baharu dicatatkan pada Jun lalu.

Bezanya, pada masa itu hampir kesemua kes melibatkan warga asing tetapi kali ini kesemuanya warga tempatan.

“Ini sememangnya amat merisaukan kita,” katanya dalam sidang media disiarkan langsung petang ini.

Beliau berharap pendekatan agresif akan berjaya mengurangkan kes di Sabah melalui larangan rentas daerah di seluruh negeri itu bermula Sabtu dan kawalan ketat di empat daerah yang masih berjalan.

Tambahnya, 31 daripada 260 kes baharu hari ini melibatkan pesakit dengan sejarah perjalanan ke Sabah.

Dr Noor Hisham juga mengesahkan beberapa orang ahli politik yang kembali dari Sabah merupakan antara kes baharu yang dikesan hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak dapat mendedahkan identiti ahli politik berkenaan kerana terikat dengan tanggungjawab melindungi kerahsiaan pesakit.

Laporan media hari ini menyebut kes di Pulau Pinang melibatkan seorang isteri kepada seorang ahli politik yang didapati positif selepas pulang dari berkempen dalam pilihan raya negeri Sabah.

Wanita berkenaan yang merupakan seorang guru turut dilaporkan positif dan menyebabkan sekolah berkenaan SK Permatang Janggus di Penaga terpaksa ditutup untuk nyahcemar.

Sekitar 600 orang murid juga terpaksa menjalani ujian dan diarah menjalani kuarantin di rumah sementara menunggu keputusan ujian.

Mengulas kes berkenaan, Dr Noor Hisham petang ini berkata tiada kluster baharu dikesan di kalangan pelajar sekolah.

Satu lagi kes melibatkan Adun Ayer Limau, Amiruddin Yusof yang dilaporkan positif Covid-19 selepas pulang dari Sabah.

Kunjungannya ke Komplek Seri Negeri di Melaka menyebabkan bangunan pentadbiran kerajaan negeri itu ditutup untuk nyahcemar.

Beliau dilaporkan positif selepas tamat tempoh kuarantin tiga hari.

Sementara itu, 47 pesakit dibenarkan pulang dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan seramai 10,014 kes pulih, menurut Dr Noor Hisham.

Seramai 21 pesakit kini menjalani rawatan di unit rawatan rapi dan tiga daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kematian baharu direkodkan hari ini menjadikan jumlah maut kekal 136 orang, katanya. – 1 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen