PEMBANGUNAN agenda Bumiputera kini diletakkan di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Sebuah jawatankuasa bersama Majlis Perundingan Melayu (MPM) juga akan dibentuk dan diterajui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed, katanya.
“Saya ingin mengumumkan bahawa (agenda Bumiputera) akan berada di bawah saya sendiri… Jabatan Perdana Menteri.
“Kita juga akan bentuk jawatankuasa pelaksana antara MPN dan Datuk Mustapa yang akan terajui jawatankuasa ini.
“Dari situ kita akan lihat mana satu yang akan didahulukan dalam situasi yang sangat mencabar ini,” katanya semasa berucap menutup Kongres Ekonomi Bumiputera di Kuala Lumpur, hari ini.
Kongres sehari anjuran MPM antara lain mengemukakan cadangan agar pembangunan agenda Bumiputera diletakkan untuk seliaan langsung Jabatan Perdana Menteri.
Pembanguan Agenda Bumiputera itu termasuk memindahkan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Malaysia (Yapiem) dibawah kendalian perdana menteri sendiri.
Mara sebelum ini di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Yapiem pula berada di Jabatan Perdana Menteri (Agama).
Selain itu dalam perdana menteri dalam ucapannya berkata Bumiputera masih lagi ketinggalan berbanding kaum yang lain walaupun pelbagai usaha dibuat sejak bermulanya Dasar Ekonomi Baru.
Beliau berkata ini berdasarkan data indeks kemiskinan 2019, kaum Bumiputera merupakan kaum yang paling miskin sebanyak 7.2% berbanding kaum Cina, 1.4% dan India, 4.8%.
Selain itu, dari segi jurang pendapatan di antara Bumiputera dan Cina pada 2019 adalah sebanyak RM2,802, iaitu empat kali lebih tinggi berbanding pada tahun 1989, katanya.
“Ini baru 2019 belum lagi selepas Covid-19 yang kita bimbang jurang pendapatan Bumiputera akan lebih merosot,” katanya.
Antara lain Muhyiddin berkata sudah tiba masanya mengamalkan konsep “membalas budi” dalam usaha menjayakan kebangkitan semula Bumiputera.
“Saya percaya telah tiba masanya untuk penerima manfaat Dasar Ekonomi Baru yang terdahulu, membalas budi dengan memberi balik kepada generasi akan datang.
“Contohnya, bidang perniagaan merupakan peluang terbaik untuk generasi terdahulu membantu menyediakan batu asas kepada mereka yang memerlukan bantuan seperti modal mentor atau serta modal rangkaian,” katanya. – 1 Oktober, 2020.
Komen