5 menteri dikuarantin, lapor media


Seramai lima menteri diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah selepas pulang dari menghadiri PRN Sabah Sabtu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2020.

SEKURANG-KURANGNYA lima menteri dikuarantin selepas pulang dari Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah Sabtu lalu, lapor Berita Harian.

Mereka adalah Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob, Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin, Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee.

Mesyuarat kabinet mingguan yang diadakan setiap Rabu ditangguhkan semalam kerana masalah kesihatan dan keselamatan.

Ismail Sabri menerusi Facebook menyatakan bahawa beliau mengambil ujian swab Covid-19 sejurus kembali dari Sabah dan akan menjalani kuarantin sendiri sehingga keputusan dikeluarkan.

“Swab test untuk kepastian status. Jika negatif terus lah dibebaskan dari kuarantin.

“Walaupun dah bebas kerana negatif namun mesti teruskan kawalan kendiri.

Patuhi setiap SOP,” tulisnya di Facebook.

Ismail Sabri turut menasihati mereka yang bergejala untuk segera ke klinik atau hospital untuk menjalani ujian.

Beliau bagaimanapun berkata walaupun negatif pada ujian pertama, mereka perlu menjalani kuarantin selama 14 hari sekiranya ada kontrak rapat positif Covid-19.

Sementara itu Hishammuddin diarahkan oleh Kementerian Kesihatan untuk dikuarantin selepas pulang dari Sabah pada 28 September.

“Baru-baru ini saya pergi ke Pitas untuk membantu calon BN Sufian Abdul Karim untuk PRN Sabah. Sufian kemudian disahkan positif Covid-19.

“Saya telah diarahkan untuk menjalani kuarantin sendiri di rumah walaupun pemeriksaan awal dibuat semasa saya tiba dari Sabah.

“Saya tahu beberapa jentera BN telah diuji positif Covid-19 tetapi saya harap mereka akan segera pulih,” katanya sambil menambah mereka sudah mematuhi setiap SOP tetapi tetap tidak dapat mengelak jangkitan virus berkenaan. – 1 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen