Afrika Selatan buka sempadan untuk negara Afrika


Afrika Selatan terjejas teruk akibat wabak koronavirus dengan 672,572 jangkitan dan 16,667 kematian direkodkan sehingga kini – sekitar separuh daripada jumlah kes yang dikesan di benua itu. – Gambar EPA, 1 Oktober, 2020.

AFRIKA Selatan akan membuka semula sempadannya ke semua negara Afrika bermula hari ini dan melarang kemasukan pelancong dari sekitar 50 negara susulan kadar jangkitan koronavirus yang tinggi, kata kerajaan negara itu semalam.

Negara perindustrian itu menutup pintu sempadannya pada 27 Mac lalu bagi mengekang penyebaran wabak Covid-19.

Sekatan pergerakan dan perniagaan secara berperingkat dilonggarkan sejak Jun tetapi sempadan ditutup untuk mengelak penularan kes import dari luar negara.

Menteri Luar Naledi Pandor berkata negara itu akan membuka sempadan secara berperingkat tetapi larangan itu dikenakan untuk kira-kira 50 negara yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi termasuk Britain, Amerika Syarikat (AS), India, Rusia dan Perancis.

“Hanya pelancong perniagaan yang mempunyai kemahiran kritikal, diplomat, pelabur dan ahli sukan professional yang datang untuk acara dari negara berisiko tinggi akan dibenarkan memasuki negara ini.

“Sementara pelancong dari semua negara Afrika dibenarkan masuk,” katanya.

Negara ini akan membuka semula beberapa sempadan darat dan tiga lapangan terbang utamanya di Cape Town, Durban dan Johannesburg.

Semua pelancong akan diminta untuk mengemukakan ujian negatif koronavirus yang diambil kurang dari 72 jam sebelum berlepas.

Mereka akan disaring semasa ketibaan dan diminta untuk memasang aplikasi pengesanan koronavirus di teleon bimbit mereka.

Sekatan perjalan akan dikaji setiap dua minggu.

Afrika Selatan terjejas teruk akibat wabak koronavirus dengan 672,572 jangkitan dan 16,667 kematian direkodkan sehingga kini – sekitar separuh daripada jumlah kes yang dikesan di benua itu.

Negara yang menguatkuasakan sekatan mempunyai jumlah jangkitan dan kematian lebih besar berbanding Afrika Selatan, kata Pandor. – AFP, 1 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen