KKM kesan satu lagi kluster di Kedah


Ragananthini Vethasalam

KKM mengenal pasti satu kluster baharu Covid-19 di Kedah dipanggil Kluster Tembok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengenal pasti satu kluster baharu Covid-19 di Kedah dengan tiga kes positif, dipanggil Kluster Tembok.

Kes indeks kluster tersebut merupakan pesakit yang meninggal dunia di Kedah yang dilaporkan hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Mangsa adalah lelaki berusia 46 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, jantung dan buah pinggang. 

Dr Noor Hisham berkata mangsa mula mengalami gejala sejak 21 September dan dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah pada 28 September selepas mengalami sesak nafas. Mangsa meninggal dunia pada hari yang sama, jam 6:15 petang.

KKM katanya mengesan dua lagi kes positif menerusi saringan kontak rapat mangsa.

“Dua kes positif ini melibatkan dua  warganegara Malaysia. Mereka telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan,” kata Dr Noor Hisham dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, KKM sedang menyiasat punca jangkitan.

Menurutnya lagi, setakat 12 tengah hari tadi seramai 169 individu telah disaring. Daripada jumlah itu, 166 individu sedang menunggu keputusan. – 30 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen