MALAYSIA melaporkan dua kematian berkaitan Covid-19 hari ini, satu di Kedah dan satu lagi di Sabah.
Ia menjadikan angka kematian keseluruhan negara akibat virus koronavirus kepada 136 orang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan.
Terdapat juga 89 jangkitan baharu yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam terakhir, dengan 86 daripadanya melibatkan penularan tempatan.
Sabah menyumbang sebahagian besar jangkitan baharu melibatkan penularan tempatan dengan 35 kes.
Kedah yang melaporkan satu lagi kluster baru, menyaksikan 13 kes.
Negeri lain yang melaporkan kes baharu termasuk Selangor dan Johor, 10 dan lapan kes.
Kes baharu turut dilaporkan di Sarawak (4), Kuala Lumpur (3), Terengganu (3), Pahang (2), Kelantan (2), Perlis (2), Negeri Sembilan (1), Perak (1), Pulau Pinang (1) dan Labuan (1).
Sebanyak 82 kes melibatkan warganegara dengan penularan tempatan sementara dua yang lain adalah warga asing.
Kes baharu hari ini menjadikan jumlah negara kepada 11,224.
Kes aktif meningkat kepada 1,124 berbanding 1,062 semalam.
Dalam tempoh 24 jam lalu, 28 orang juga didiscaj dari hospital selepas pulih daripada koronavirus.
Oleh ini, jumlah mereka yang pulih adalah 9,967.
Seramai 16 pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi, dengan tiga memerlukan intubasi.
Bagi kes kematian yang dilaporkan hari ini, kedua-dua mangsa merupakan lelaki tempatan berusia 46 tahun di Kedah, dan 70 tahun di Tawau, Sabah.
Mangsa di Kedah mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, jantung dan buah pinggang. Dia mula mengalami gejala sejak 21 September dan dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah selepas mengalami sesak nafas. Mangsa meninggal dunia pada hari yang sama.
Mangsa di Sabah pula mempunyai latar belakang penyakit barah peringkat akhir. Lelaki itu meninggal dunia di rumah pada 26 September dan telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tawau, Sabah. Hasil saringan Covid-19 semalam mendapati mangsa positif. – 30 September, 2020.
Komen