Penularan Covid-19 di Selangor paling tinggi pada kadar 1.95


Kesemua individu dari Sabah diwajibkan menjalani saringan dan menjalani kuarantin, dan seterusnya menerima rawatan jika bergejala atau didapati positif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2020.

KADAR penularan Covid-19 di Selangor kini di paras 1.95, paling tinggi berbanding tiga negeri yang mencatat peningkatan kes, menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Rajah dikeluarkan MKN melalui saluran media sosial hari ini menyebut, kadar di Selangor itu menunjukkan peningkatan mendadak ke angka 1.95 dengan 15 kes baharu.

Ia meningkat dari paras 1.65 semalam, dengan 11 kes.

Kadar 1.95 itu lebih tinggi dari kadar kebolehjangkitan di Sabah yang mencatat kadar penularan 1.26 walaupun jumlah kes menurun.

Kes paling tinggi di Sabah berjumlah 134 pada 23 September ketika kadar penularannya 1.37. Ia merosot sedikit beberapa hari seterusnya dan meningkat semula kepada 124 dengan kadar 1.42.

Kadar penularan di Sabah kini pada angka 1.26 dengan 73 kes pada hari ini, menurut rajah dalam kenyataan MKN.

Ia turut menyatakan, hitungan kadar keseluruhan dalam negara pula pada angka 1.25.

Angka kadar penularan jangkitan tersebut merupakan antara perkara utama yang digunapakai untuk memandu tindakan bagi menangani jangkitannya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media semalam menyebut kadar R-naught untuk dalam negara masih terkawal kerana kurang dari 1.6, yang disifatkan kritikal.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kadar jangkitan di Sarawak yang ketika itu mencatat angka 1.42.

“Tahap kritikal adalah 1.6 dan di Sabah kira-kira 1.42. Kita masih dapat mengawal penularan dengan syarat kita terus melakukan yang terbaik dengan langkah-langkah kesihatan awam di kawasan masing-masing,” katanya.

Kesemua individu yang tiba dari Sabah diwajibkan menjalani saringan dan menjalani kuarantin, dan seterusnya menerima rawatan jika bergejala atau didapati positif.

Ia berikutan penemuan beberapa kluster baharu di semenanjung yang berpunca dari individu yang tiba dari Sabah apabila jangkitan di negeri itu meledak dalam masa 10 hari.

Kes yang berkait dengan ketibaan dari Sabah itu seterusnya dikesan menjangkiti Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Johor, Melaka.

Ia turut dikaitkan dengan jangkitan baharu dikesan di Kedah, Perak, Pulau Pinang, Perlis dan Putrajaya.

Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan, kadar jangkitan dalam negara mencecah angka 3.55.

Kawalan dalam negara kini dibuat bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan sejak Jun.

Sejak itu, beberapa kawasan yang mencatat peningkatan tinggi dikawal bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan secara pentadbiran. – 30 September, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen