BADAN pengurusan zakat menjangka jumlah asnaf akan terus meningkat manakala penyumbang pula semakin berkurangan bulan depan apabila moratorium pinjaman bank berakhir.
Ia berdasarkan trend dilihat badan tersebut di beberapa negeri yang mendapati agihan meningkat dan kutipan zakat berkurangan mendadak apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa.
Di Pulau Pinang, badan pengurusan Zakat negeri itu sudahpun menjangkan aliran wang tunai akan terjejas apabila perintah kawalan itu mula dikuatkuasa pada Mac.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP) Amran Hazali berkata jangkaan itu tepat apabila mereka mendapati kutipan berkurangan sehingga 40% semasa PKP dikuatkuasa.
“Kutipan zakat harta merosot pada bulan Mac, April, dan Mei. Pada peringkat awal PKP, jurang kutipan itu besar berbanding tahun lepas tetapi ia kembali meningkat pada bulan Jun.
“Ini disebabkan masyarakat perlukan wang untuk perbelanjaan harian yang lebih penting, ada individu diberhentikan kerja, dan peniaga tepi jalan yang tidak dibenarkan berniaga,” katanya.
Jelasnya pada Mac, kutipan ZPP turun 42% kepada RM4 juta berbanding bulan sama 2019 dan turut merosot 32% kepada RM11 juta pada April berbanding tempoh sama 2019.
Kutipan itu juga merosot 40% pada Mei ini kepada RM10.5 juta berbanding tahun lalu.
“Tetapi jumlah kutipan kembali meningkat pada bulan Jun sebanyak RM11.5 juta dan Julai RM8.4 juta,” kata Amran.
Melihat kepada trend itu, ZPP menurunkan sasaran kutipan tahun ini sebanyak 10% daripada RM136 juta kepada RM122.4 juta, katanya.
Amran juga menjelaskan jumlah pembayar zakat daripada Januari hingga Ogos tahun ini tidak banyak berkurangan, lebih kurang 62,000 orang berbanding 63,000 orang pada 2019.
“Bilangan pembayar tidak kurang banyak, tetapi mereka kurangkan wang untuk dizakatkan hingga menurun RM4 juta,” tambahnya.
Dalam tempoh sehingga 21 Ogos itu, jumlah agihan zakat pula meningkat daripada RM70.5 juta tahun 2019 kepada RM80.8 juta tahun ini, katanya kepada The Malaysian Insight.
Namun beliau yakin ZPP tidak menghadapi masalah besar kerana mereka mempunyai lebihan jumlah kutipan pada 2019.
“Kita kutip zakat tahun lepas sebanyak RM121 juta dan jumlah agihan kepada penerima RM110 juta. Lebihan RM11 juta,” katanya.
Beliau menjelaskan lebihan itu dapat menampung agihan kepada penerima baharu khususnya daripada pemohon yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Lebihan ini kita yakin boleh beri kepada pemohon-pemohon dengan syarat perlu diberi keutamaan kepada fakir miskin dan golongan yang benar-benar memerlukan,” jelas beliau.

Moratorium tamat, cabaran baharu ZPP
Beliau bagaimanapun menjangka kutipan zakat akan merosot semula selepas tempoh moratorium untuk membayar pinjaman bank tamat bulan ini namun yakin ZPP mampu mengagihkannya.
“Kita khuatir sebab apabila moratorium tamat, kita jangkakan Oktober ini bilangan pemohon akan meningkat dan kutipan akan sedikit menurun.
“Kita harap ia tidak berlaku kerana kebanyakan bank memberikan moratorium secara bersasar, tetapi jika berlaku kami bersedia.
“Dengan lebihan kutipan yang kita ada, kita masih boleh beri bantuan tanpa perlu kita kurangkan elaun bantuan atau zakat,” tambah beliau.
Jelasnya, penerima agihan zakat sehingga Ogos tahun ini di negeri itu berjumlah 36,987 orang, naik kira-kira 39% berbanding tempoh sama tahun lalu, yang berjumlah 26,554 orang.
Moratorium selama enam bulan itu berjalan selama enam bulan bermula Mac sewaktu PKP mula dikuatkuasa.
Tempoh itu dilanjutkan selama tiga bulan lagi secara bersasar untuk peminjam yang layak mengikut budi bicara bank dan pemiutang melalui pakej tambahan bantuan Prihatin kerajaan.
Walau dengan kelonggaran tersebut, badan kutipan zakat seperti di Wilayah Persekutuan menjangka semakin ramai memerlukan bantuan zakat terutama dalam tempoh tiga bulan hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan (PPZ) Ahmad Syukri Yusoff bagaimanapun percaya kutipan di negeri itu masih mencukupi walau jumlah asnaf meningkat.
“Ada kebimbangan pihak kami untuk tempoh tiga bulan akan datang bila morotorium dihentikan akan memberi kesan dan semakin ramai orang yang akan kehilangan pekerjaan,” katanya.
Jelasnya data PPZ menunjukkan seramai 20,348 asnaf segera dikesan dan direkodkan di Wilayah Persekutuan ketika tempoh pelaksanaan PKP.
Justeru, PPZ kini sedang giat membina keyakinan masyarakat untuk memilih badan itu sebagai tempat membayar zakat bagi menampung keperluan asnaf baharu, kata Ahmad Syukri.
Mengulas prestasi kutipan zakat badan itu, beliau berkata Wilayah Persekutuan bernasib baik kerana kutipan masih meningkat sebanyak 7% ketika negara dilanda pandemik Covid-19.
Setakat Ogos tahun ini, PPZ merekodkan kutipan zakat sejumlah 448.79 juta membabitkan 348,612 pembayar zakat setakat Ogos ini, katanya lagi.
“Peningkatan 7% ia tidak terlalu tinggi sepertimana kita harapkan iaitu dalam 12%.
“Ini menggambarkan bahawa orang yang layak membayar zakat terus membayar kepada kita tapi mungkin ada sedikit ada individu yang tak layak bayar zakat kesan daripada hilang pekerjaan.”
Pada masa sama beliau turut menyarankan individu yang layak membantu PPZ dengan tidak menangguh bayaran zakat dalam situasi yang kritikal.
“Kami seru pada rakyat yang masih lagi ada pekerjaan, atau perniagaan mereka yang tidak ada beri kesan atau kaitan dengan perosotan ekonomi kita harap dapat bantu asnaf dengan membayar zakat.
“Di PPZ kita juga melakukan banyak program dan selain pembayaran zakat secara atas talian kita juga mengalakkan pembayar zakat membuat bayaran potongan gaji secara bulanan,” katanya.
Di Selangor, kutipan zakat juga merosot tetapi tidak terlalu ketara, hanya 0.1% dalam tempoh Januari hingga Mei berbanding tahun lalu, berdasarkan data daripada Lembaga Zakat Selangor.
Kutipan zakat di Selangor setakat Mei merekodkan peningkatan sebanyak RM133.619 juta berbanding kutipan semasa April iaitu RM74.185 juta.
Selangor mencatatkan kutipan zakat berjumlah RM26.3 juta tahun lepas. – 30 September, 2020.
Komen