Wilayah Utara Australia rancang bawa masuk pelajar antarabangsa


Ketua menteri Wilayah Utara Australia Michael Gunner mendedahkan rancangan untuk membawa masuk kembali pelajar antarabangsa dan pekerja bermusim ke rantau itu. – Gambar EPA, 29 September, 2020.

KETUA menteri Wilayah Utara Australia (Wilayah Utara) mendedahkan rancangan untuk membawa masuk kembali pelajar antarabangsa dan pekerja bermusim ke rantau ini, lapor agensi berita Xinhua.

Michael Gunner mengesahkan pada Isnin beliau berusaha memperluas dasar lokasi panas Wilayah Utara, iaitu hanya pengunjung dari kawasan tiada kes jangkitan Covid-19 sahaja dibenarkan memasuki wilayah tersebut, dari luar negara.

Sekiranya berjaya, ia akan membuka jalan untuk pelajar antarabangsa dan pekerja bermusim kembali ke Wilayah Utara dan dapat merangsang semula ekonomi. 

Namun, sungguhpun dasar lokasi panas diperluaskan, semua ketibaan antarabangsa masih tertakluk dengan tempoh 14 hari kuarantin yang mencetuskan persoalan berkaitan kos.

Pada awal September kira-kira 160 pekerja bermusim dari Vanuatu - yang disahkan tidak mempunyai kes Covid-19 - tiba di Wilayah Utara bagi mengisi kekurangan tenaga buruh untuk kerja-kerja menuai mangga dan perlu menjalani kuarantin - menyebabkan industri mangga mengeluarkan kos sejumlah AUD400,000 (AS$283,251).

Gunner berkata kerajaan mahu membuat percubaan kuarantin ke atas pelajar antarabangsa yang belajar di Wilayah Utara.

“Kami mempunyai ramai pelajar antarabangsa di sini. Sejak empat tahun kebelakangan ini, kami menambah jumlah mereka lebih dari 1,000 hingga 2,500. Saya tidak fikir kami dapat membawa masuk 2,500 pelajar,” katanya.

“Kami sedang berusaha bekerjasama dengan kerajaan Australia untuk masa akan datang - bagaimana kita melakunya dengan selamat dan memastikan ekonomi terus bergerak, pada dasarnya, bagaimanakah ia perlu dilakukan tanpa menyukarkan mana-mana pihak?”

Sehingga Isnin petang, terdapat 27,044 kes Covid-19 yang disahkan di Australia, dan jumlah kes baharu dalam 24 jam terakhir adalah lima, menurut angka terkini Jabatan Kesihatan.

Semua lima kes baharu dilaporkan di Victoria, negeri yang paling terjejas di negara ini, juga tiga kematian lain dilaporkan, meningkatkan jumlah kematian nasional kepada 875. – Bernama, 29 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen