Bukan kali pertama Dr Mahathir sengketa dengan kerabat


Bede Hong

Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri pernah berkata kerabat diraja tidak berada atas undang-undang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember, 2017.

TINDAKAN Dr Mahathir Mohamad yang tidak pernah dibuat oleh sesiapa sebelum ini, iaitu memulangkan darjah kebesaran kepada istana Selangor, bukan perselisihan pertamanya dengan kerabat diraja.

Kali pertama ialah pada 1993 apabila kerajaan memansuhkan kekebalan yang dinikmati oleh kerabat diraja berhubung pendakwaan sivil dan jenayah.

Sedangkan selama ini, raja-raja menikmati kekebalan mutlak daripada dikenakan tindakan di mana-mana mahkamah sivil atau jenayah.

Tetapi insiden pada 6 Disember, 1992, apabila jurulatih hoki Maktab Sultan Abu Bakar Douglas Gomez membuat laporan polis mendakwa dia dipukul oleh Sultan Johor ketika itu, Sultan Iskandar Sultan Ismail, memberikan Dr Mahathir satu peluang.

Mengulas mengenai laporan itu, Dr Mahathir berkata pada masa itu: “Kerabat tidak berada di atas undang-undang. Mereka tidak boleh bunuh orang. Mereka tidak boleh pukul orang.”

Empat hari kemudian, Dewan Rakyat mengadakan sidang khas pada 10 Disember dan mengundi untuk mengawal kuasa diraja jika perlu.

Usul itu menerima 96 undi daripada 180 wakil rakyat, termasuk dua undi daripada PAS dan DAP. Ia kali pertama teguran yang dibuat terhadap kerabat, diterima oleh Dewan Rakyat.

Timbalan perdana menteri pada masa itu, Ghafar Baba membawa usul rang undang-undang untuk meminda Perlembagaan bagi membolehkan raja-raja tertakluk kepada prosiding jenayah dan sivil di mahkamah biasa.

Usul itu berkata “Dewan ini mengambil ketetapan bahawa segala tindakan yang perlu hendaklah diambil bagi menentukan insiden seumpama ini tidak berulang lagi pada masa hadapan”.

Semangat 46, yang diketuai bekas pemimpin Umno Tengku Razaleigh Hamzah membantah usul itu, berkata ia akan melemahkan kerabat dan keistimewaan Melayu.

Sepanjang tempoh itu, liputan media oleh akhbar dikawal kerajaan melaporkan tentang kehidupan mewah kerabat diraja.

Kemudian, pindaan RUU pada Januari 1993 itu ditolak oleh sembilan ahli dalam Majlis Raja-raja.

Pada Mac 1993, satu pindaan tambahan dirangka dengan empat konsesi.

Bekas wartawan dan penulis autobiografi, Barry Wain dalam bukunya pada 2009 bertajuk “‘Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times”, menulis: “Dr Mahathir membuat pengiraan dengan bijak dan menunggu waktu sesuai untuk bertindak, disingkirkan daripada kabinet dan Majlis Tertinggi Umno, ahli politik itu yang bersimpati atau memihak dengan monarki ketika krisis pertama.

“Beliau tahu dengan pertumbuhan Melayu kelas pertengahan, sedikit Melayu yang akan melihat kepada monarki untuk perlindungan simbolik. Mereka dapat meningkatkan status kerana dasar tertentu, dan mereka percaya pada sistem politik yang dibawa dasar itu untuk masa depan.”

Kes pertama membabitkan kerabat susulan pindaan itu ialah perintah Mahkamah Khas pada 2008 terhadap Sultan Negeri Sembilan Tuanku Ja’afar ibni Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman untuk membayar RM3.5 juta kepada Standard Chartered Bank Malaysia Berhad (SCBMB) berhubung satu tuntutan saman perbankan.

Pada 1994, Dr Mahathir sekali lagi mengurangkan kuasa raja-raja untuk menghalang RUU diluluskan. Dalam pindaan pada Mei, semua undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen akan menjadi undang-undang dalam tempoh 30 hari, sama ada Agong memberi perkenan atau tidak.

Dalam beberapa tahun terakhir ini, Dr Mahathir meluahkan rasa kesalnya terhadap pindaan itu yang tidak lagi perlu mendapatkan kelulusan dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong untuk meluluskan akta di Parlimen.

Dr Mahathir berkata demikian berkenaan Akta Majlis Keselamatan Negara yang baharu, di mana ia memberikan kuasa darurat kepada kerajaan, walaupun Yang di-Pertuan Agong tidak menandatanganinya.

Undang-undang itu, yang dikuatkuasakan pada 1 Ogos, 2016, memberikan kuasa mengisytiharkan darurat kepada Eksekutif.

“Antara hak dan kuasa Yang di-Pertuan Agong ialah mengisytiharkan darurat kerana kesannya sangat serius. MKN memberikan kerajaan hak untuk menggantung undang-undang. Dengan hak itu, kerajaan boleh menahan sesiapa tanpa bicara,” tulis Dr Mahathir dalam blognya pada Ogos lalu. – 14 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • madey sekali lagi menunjukkan keras kepala beliau dgn menentang sultan..hal ini telah menunjukkan bahawa beliau memang mempunyai dendam lama dgn sultan..busuk hati betul dia ni..

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan