Sekatan pergerakan baharu di Quebec susulan kes Covid-19 meningkat


Quebec semalam melaporkan 750 kes baharu, yang disifatkan pihak berkuasa kesihatan sebagai gelombang kedua pandemik Covid-19. – Gambar EPA, 29 September, 2020.

QUEBEC, wilayah paling teruk dilanda pandemik Covid-19 di Kanada, semalam diletakkan bawah perintah berkurung semula.

Langkah itu diambil bagi mengekang wabak tersebar ke tiga wilayah lain termasuk Montreal dan Quebec City, kata Perdana Menteri Quebec Francois Legault.

Legault berkata semua bar, dewan konsert, pawagam dan perpustakaan di Quebec yang kini berada dalam zon merah, diarahkan tutup selama 28 hari mulai 1 Oktober.

Kedai dan restoran dibenarkan buka tetapi terhad untuk makanan yang dibawa pulang, katanya.

Sekolah katanya tidak akan ditutup, bagaimanapun penduduk di wilayah itu diarah mengehadkan pergerakan mereka.

“Sekarang ini kita lihat kes naik dengan mendadak dan kita jangka hospital akan sesak dan akan ada kematian dalam beberapa minggu akan datang,” kata Legault pada sidang media yang disiarkan langsung di televisyen semalam.

“Kita sedang berdepan situasi kritikal.”

Walaupun wilayah itu mewajibkan pemakaian pelitup muka dan mengehadkan perhimpunan sosial, Quebec semalam melaporkan 750 kes baharu, yang disifatkan pihak berkuasa kesihatan sebagai gelombang kedua pandemik Covid-19.

Jumlah kes di seluruh Kanada meningkat bulan ini, susulan berjuta rakyatnya kembali bekerja dan ke sekolah selepas cuti musim panas.

Ontario melaporkan lebih 700 kes sehari. – AFP, 29 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen