WARGA emas sangat terdedah kepada virus Covid-19, menyebabkan permintaan terhadap khidmat pusat jagaan golongan ini meningkat, kata pengusaha.
Meskipun pusat jagaan warga emas berdepan masalah pelanggan yang lewat membayar yuran susulan ekonomi terjejas akibat pandemik Covid-19, perkhidmatan tetap berjalan seperti biasa, tambah mereka.
Pengusaha juga berkata mereka mempunyai prosedur operasi standard (SOP) ketat untuk memastikan golongan yang sangat terdedah kepada virus Covid-19 ini dijaga dalam persekitaran yang selamat.
Susulan peningkatan terhadap khidmat jagaan warga emas juga, sesetengah pusat jagaan terpaksa menolak pesakit baharu kerana tidak mempunyai ruang mencukupi.
Dr Lyndon Thomas dari Genesis Care Centre berkata permintaan terhadap khidmat pusat jagaan warga emas meningkat sejak pandemik Covid-19 berbanding sebelum ini.
“Kami masih baru beroperasi, hampir dua tahun dalam industri ini.
“Jika dibandingkan dengan lima bulan yang lalu, keadaan sekarang lebih baik,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.
Menurut Dr Lyndon, ramai pelanggan menghantar menghantar ibu bapa ke pusat jagaan kerana terpaksa bekerja dari rumah, ketika pandemik Covid-19 mula melanda.
“Warga emas dihantar ke pusat jagaan kerana golongan ini mudah dijangkiti virus, jadi keluarga berasakan mereka perlu dijaga di tempat yang lebih selamat.”
Beliau juga berkata susulan ekonomi terkesan akibat pandemik Covid-19, terdapat pelanggan yang menghadapi masalah lewat membayar yuran.
“Kami masih boleh bertolak-ansur, masih boleh kawal situasi ini. Mereka yang lewat bayar yuran ini jumlahnya tidak sampai 10% pun.”
Kata Dr Lyndon lagi, pusat jagaan mereka boleh menampung sehingga 72 pesakit dan setakat ini kapasiti mencecah 85%.
“Permintaan terhadap pusat jagaan yang menawarkan perkhidmatan lebih baik dalam menangani pandemik Covid-19 lebih tinggi.
“Kami sentiasa menerima panggilan untuk kemasukan pesakit baharu, kebanyakannya daripada mereka yang mencari kemudahan lebih baik,” katanya.
Pusat jagaan yang terletak di Klang itu mengenakan yuran antara RM2,500 hingga RM5,000 sebulan , bergantung pada jenis bilik dan keperluan penjagaan.

Bagi pengurus Wecare2u, yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, pusat jagaan mereka sejak beberapa bulan lalu terpaksa menolak pesakit baharu.
“Pusat kami hanya boleh menampung 16 pesakit pada satu-satu masa, jadi kami terpaksa hadkan bilangan pesakit semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Ada pesakit yang perlukan jagaan bagi tempoh yang lama, ada yang sekejap sahaja. Kebiasaannya kami terima dua hingga tiga pesakit dalam sebulan,” katanya.
Lee bagaimanapun mengakui ada keluarga yang meminta untuk lewat membayar yuran kerana masalah ekonomi akibat Covid-19. – 29 September, 2020.
Komen