SEBANYAK 661 individu ditangkap semalam kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pada hari ke-111 perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan untuk mengekang penyebaran Covid-19, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
Dalam satu kenyataan, Ismail berkata daripada jumlah itu, 577 individu ditangkap kerana melakukan aktiviti di pub dan kelab malam.
“Kesalahan PKPP merangkumi aktiviti di pub atau kelab malam (577), gagal mematuhi penjarakan fizikal (47), tidak menggunakan pelitup muka (30), gagal menyediakan peralatan mencukupi untuk merekodkan butiran pelanggan (8), premis beroperasi di luar waktu (3), dan tidak mematuhi arahan kuarantin di rumah (1),” kata menteri pertahanan hari ini.
Daripada jumlah 661 yang ditangkap, 648 dikeluarkan kompaun sementara 13 lagi direman.
Kerajaan belum memberi kebenaran kepada pub dan kelab malam beroperasi.
Pada Julai, Ismail berkata kelab malam dan pusat hiburan yang beroperasi dalam tempoh PKPP berdepan risiko lesen ditarik balik kerana ia masih dalam senarai negatif kerajaan.
Polis, yang mengetuai pasukan petugas yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk memeriksa pematuhan SOP di kalangan orang ramai, membuat 58,813 pemeriksaan di seluruh negara semalam, yang melibatkan 11, 601 pegawai.
Polis, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dan pasukan bersenjata juga melakukan 81 sekatan jalan raya di seluruh negara dan berjaya menangkap 40 pendatang tanpa izin dan seorang penyeludup haram.
Beliau berkata kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki negara ini secara haram dan agensi penguatkuasaan akan terus memperketat kawalan di sempadan, terutama jalan haram atau jalan tikus. – 28 September, 2020.
Komen