Angka kematian Covid-19 lepasi 1 juta


Virus Covid-19 mula dikesan di China pada Dismeber tahun lalu. – Gambar EPA, 28 September, 2020.

ANGKA kematian akibat Covid-19 di seluruh dunia kini melepasi sejuta kes setakat semalam, sejak virus itu dikesan di China pada Disember lalu.

Sehingga kini seramai 1,000,009 orang maut daripada 33,018,877 kes positif yang dilaporkan, menurut data rasmi yang diperolehi AFP.

Amerika Syarikat (AS)  merekod angka tertinggi dengan lebih 200,000 kematian, diikuti Brazil, India, Mexico dan Britain.

Dari India hinggalah ke bandar raya New York di AS, pandemik Covid-19 telah merencat ekonomi dunia, menjejas kehidupan manusia dan meningkatkan ketegangan geopolitik.

Langkah kawalan termasuk perintah berkurung ke atas lebih empat juta penduduk dunia sejak April berjaya mengawal penularan jangkitan, namun meningkat semula selepas sekatan mula dilonggarkan.

Ketika para saintis masih berusaha membangunkan vaksin Covid-19, kerajaan setiap negara digesa meningkatkan usaha membendung jangkitan. Langkah pengawalan ini bagaimanapun menjejaskan ekonomi.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) awal tahun ini memberi amaran dunia akan mengalami krisis ekonomi luar biasa akibat Covid-19.

Eropah kini berdepan gelombang kedua pandemik itu, memaksa kota Paris, Madrid dan London melaksanakan peraturan bagi mengekang wabak.

Pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal di pasar raya, kafe dan dalam pengangkutan awam kini diwajibkan di kebanyakan bandar besar.

Susulan peningkatan kes di beberapa negara dan wilayah pada pertengahan September, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) memberi amaran angka kematian boleh meningkat kepada dua juta sekiranya dunia lambat tidak serius mengambil langkah pencegahan.

“Angka sejuta sangat serius, kita perlu bertindak segera sebelum menjadi angka dua juta,” kata Pengarah Kecemasan WHO Michael Ryan, Jumaat lalu.

“Adakah kita sudah cukup bersedia untuk mengelakkannya berlaku?” – AFP, 28 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen