JUMLAH korban wabak Covid-19 di Malaysia naik kepada 134 orang hari ini apabila satu kes kematian dilaporkan di Sabah, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Sementara itu, terdapat 150 kes baharu dilaporkan sejak 24 jam lalu, 146 daripadanya adalah kes jangkitan tempatan dan hanya empat kes import, tambahnya lagi.
Dr Noor Hisham berkata Sabah menyumbang 124 kes baharu hari ini.
Pihak berkuasa juga mengesan dua kluster baharu di negeri itu.
Data terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 negara mencecah 10,919 kes.
Daripada jumlah kes jangkitan tempatan hari ini, 124 melibatkan warganegara dan 22 lagi warga asing.
Kes aktif juga naik kepada 950 berbanding 851 semalam.
Sejak 24 jam lepas, 50 orang disahkan pulih dan dibenar keluar hospital, menjadikan kes pulih keseluruhan berjumlah 9,835.
Enam pesakit sedang dirawat dalam ICU, empat daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan. – 27 September, 2020.
Komen