PERINTAH kawalan pergerakan secara pentadbiran (PKPD) di Penjara Tawau dan kuartersnya di Taman Ehsan, Sabah dilanjutkan lagi selama 14 hari, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
Selepas mempertimbangkan peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan ini, Ismail berkata kerajaan bersetuju melanjutkannya sehingga 9 Oktober.
“Dalam tempoh tersebut, kadar kes baharu di kawasan berkenaan ialah sebanyak dua angka sehari dan 107 kes dilaporkan pada 23 September lalu.
“Mengambil kira penilaian risiko terhadap penularan wabak ini, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di kawasan ini selama 14 hari lagi bermula semalam hingga 9 Oktober depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
PKPD pentadbiran di Penjara Tawau dan kawasan kuartersnya bermula 11 September lalu dan sepatutnya tamat pada 25 September.
Penduduk kawasan yang diletakkan di bawah PKPD pentadbiran tidak dibenarkan keluar kawasan itu dan orang luar juga dilarang memasukinya.
Setakat semalam, Tawau merekodkan 332 kes aktif dan dikategorikan sebagai zon merah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. – 27 September, 2020.
Komen