Pelancong simptomatik dari Sabah disaran jalani pemeriksaan, kata KP kesihatan


Ragananthini Vethasalam

Kementerian Kesihatan telah mewajibkan pelancong yang berlepas dari Sabah selepas pilihan raya di negeri ini menjalani pemeriksaan Covid-19 wajib dan kuarantin rumah, berkuat kuasa hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2020.

MEREKA yang mempunyai tanda-tanda jangkitan Covid-19, yang hendak meninggalkan Sabah, disaran untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di negeri itu bagi mengelak penularan kepada orang lain dalam perjalanan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Sekiranya ada simptom (jangkitan), disarankan untuk jalani pemeriksaan di Kota Kinabalu. Jika tidak, mereka yang miliki simptom dan positif jangkitan, akan menjangkiti orang lain,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam satu pesanan ringkas hari ini.

Noor Hisham berkata, pemeriksaan juga akan dilakukan di lapangan terbang dan mereka yang mengalami gejala jangkitan tidak akan dibenarkan berlepas.

Kementerian Kesihatan telah mewajibkan pelancong yang berlepas dari Sabah selepas pilihan raya di negeri ini menjalani pemeriksaan Covid-19 wajib dan kuarantin rumah, berkuat kuasa hari ini.

Pemeriksaan bermula hari ini di pintu masuk domestik dan antarabangsa lapangan terbang dan akan dilakukan sehingga 10 Oktober.

Langkah itu dilakukan, selepas Kementerian Kesihatan mengesan 21 kes Covid-19 baharu daripada mereka yang tiba di semenanjung dari Sabah.

Ahli politik yang berkempen di negeri itu juga sudah mula menajalani ujian Covid-19.

Bekas perdana menteri Najib Razak adalah antara mereka yang mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan dan telah diuji Covid-19.

“Kita jaga diri kita, demi orang yang mendekati kita juga. Saya dah buat ujian Covid-19. Harap-harap negatif.

“Tiada apa-apa simptom setakat ini, sihat Alhamdulillah.”

Ahli Parlimen Pekan itu juga menambah bahawa beliau tidak mempunyai gejala jangkitan.

Ahli Parlimen Subang Jaya, Wong Chen yang berada di Sabah antara 12 September dan 14 September turut berkata bahawa beliau terus menuju ke Pusat Perubatan Sunway semasa tiba di Kuala Lumpur untuk mendapatkan ujian RT-PCR Covid-19.

“Saya menginap di Inanam, 10km dari pusat bandar Kota Kinabalu dan saya bergerak di kawasan KK sahaja. Saya tidak pernah berada di daerah Lahad Datu dan Tawau di mana kluster muncul,” katanya.

“Saya jalani kuarantin rumah, sehingga keputusan ujian keluar. Saya mendapat keputusan pada 15 September, dan negatif Covid-19. Doktor beritahu bahawa ujian ini adalah 99.9% tepat, bahkan 2.5 jam setelah terdedah kepada Covid-19, ”tambahnya.

Sehingga jam 12 malam semalam, terdapat lebih daripada 700 kes di Sabah.

Semporna, Tawau, Lahad Datu dan Kunak telah diwartakan sebagai zon merah setelah melaporkan lebih dari 40 kes. – 27 September, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen