MALAYSIA tiada rancangan untuk memperkenalkan kaedah khas membuang pelitup muka dan mahu rakyat lebih bertanggungjawab ketika membuangnya.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pelitup muka yang digunakan oleh pesakit bukan Covid-19 tidak dianggap sebagai sampah klinikal, oleh itu boleh dibuang sebagai sampah biasa.
Beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mengotori alam sekitar dengan pelitup muka terpakai.
“Kementerian tidak bercadang menyediakan tong sampah khas untuk pelitup muka.
“Cuma kita galakkan agar tali pengikat pelitup muka dipotong atau digunting bagi mengelakkan ia terlekat pada binatang, sebagaimana diviralkan,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam pesanan teks ringkas.
Beliau menjawab pertanyaan apakah kementerian merancang membuat tong khas untuk pelitup muka terpakai bagi mengatasi masalah sampah sarap yang berleluasa.
Menyedari situasi itu, Tuan Ibrahim mengingatkan orang ramai agar tidak berbuat demikian.
“Oleh kerana penggunaan pelitup muka banyak diguna buang, maka semua pihak digesa tidak membuangnya di merata tempat, bagi melestarikan alam sekitar,” katanya.
Mereka yang membuang pelitup muka sudah digunakan di jalan dan menjadi pemandangan biasa sejak pandemik Covid-19.
Seorang wanita dari Pulau Pinang, Vasugi Ramasamy baru-baru ini menarik perhatian berhubung isu ini selepas beliau mengambil tindakan membersihkan jalan yang dipenuhi dengan barang pelindung yang penting itu.
Kerani berusia 36 tahun itu menjalankan aktiviti mengutip sampahnya sendiri pada Ahad untuk mengutip pelitup muka yang dibuang.
Pengarah Perubatan Sunway Medical Center dan doktor perunding kecemasan, Dr Seow Vei Ken, berkata jika pelitup muka terpakai tidak dibuang dengan betul, ia boleh meningkatkan risiko jangkitan secara tidak langsung dan penularan virus kepada mereka yang terdedah.
“Bahan kimia yang terkandung pada pelitup muka adalah potensi ancaman kepada alam sekitar kita.
“Pelitup muka perubatan mengandungi sejumlah besar polipropilena, yang melepaskan banyak bahan toksik ketika proses degradasi,” kata Seow ketika ditanya apakah pelitup muka dianggap sebagai sisa toksik.

Beliau bersetuju dengan Tuan Ibrahim pelitup muka terpakai oleh mereka yang tidak positif Covid-19 boleh dibuang ke tong sampah biasa.
Bagaimanapun, topeng digunakan pekerja kesihatan yang terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19 perlu dibuang di tong sampah klinikal disediakan, katanya.
Beliau menambah pelitup muka tidak boleh dikitar semula kerana jika tercemar, ia berpotensi menyebabkan jangkitan tidak langsung dan penularan virus jika masuk dalam sistem kitaran semula.
Presiden organisasi alam sekitar EcoKnights, Yasmin Rashid berkata terdapat masalah “tingkah laku” dan “sikap” membuang sampah di kalangan masyarakat.
“Secara umum, rakyat Malaysia masih bergelut untuk bertanggungjawab terhadap sampah mereka sendiri,” katanya.
“Mempunyai kemudahan infrastruktur mencukupi akan menjadi tidak produktif jika rakyat Malaysia tidak pertimbangan wajar agar tidak membuang sampah di jalanan, jalan raya atau dari kereta mereka,” tambahnya.
Kumpulan perlindungan alam sekitar Ocean Conservancy baru-baru ini berkata kira-kira 129 bilion pelitup mula dan 65 bilion sarung tangan plastik yang digunakan sebagai perlindungan semasa krisis Covid-19 dibuang setiap bulan di seluruh dunia, dengan sebilangan besar berakhir di lautan.
Pelitup mula pembedahan yang boleh digunakan sekali sahaja, topeng N95 dan sarung tangan dibuat daripada bahan sintetik, tidak lupus dan memerlukan ratusan tahun untuk terurai secara semula jadi, kata laporan itu.
Kementerian Kesihatan menasihatkan pelitup muka terpakai perlu dilipat, digulung dan diikat dengan talinya sendiri dan dibuang ke dalam tong sampah. – 27 September, 2020.
Komen