DASAR tindakan afirmatif Malaysia terus dibuat berdasarkan etnik berbanding keperluan walaupun kerajaan berazam untuk beralih kepada kriteria yang lebih berdasarkan merit, menurut laporan kajian terkini daripada pusat penyelidikan Singapura.
Dr Lee Hwok Aun daripada Institute of Southeast Asian Studies (ISEAS) berkata, bidang seperti akses kepada pengajian tinggi, pekerjaan dan pembangunan perusahaan adalah berdasarkan kaum berbanding merit.
“Pemilihan berasaskan keperluan masih kurang digunakan dalam pendidikan tinggi dan pembangunan perusahaan.
“Bagi pemilihan berdasarkan merit, walaupun ia beransur-ansur berkembang, ia boleh diaplikasikan dalam semua ruang lingkup dasar, terutamanya dalam pembangunan perusahaan,” kata Lee pada pembentangan di pusat pengajian Universiti Malaya awal bulan ini.
Lee berkata, terdapat lebih banyak ruang untuk penambahbaikan dalam kekurangan sosio ekonomi, terutamanya dalam bidang pendidikan.
Dalam kajian bertajuk, “Malaysia’s Bumiputera preferential regime and transformation agenda: Modified programmes, unchanged system”, Lee berkata beliau sudah menjalankan temubual dan mengkaji laporan tahunan maklumat utama seperti Agensi Peneraju Bumiputera (Teraju), Dewan Perdagangan Melayu Malaysia (DPMM) dan Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia (MTEM).
Katanya sistem pra universiti sedia ada yang lebih menumpukan kepada pelajar Bumiputera merupakan salah satu dasar yang perlu dikaji semula dalam usaha untuk mendapatkan proses pemilihan ke institusi pengajian tinggi di negara ini lebih berdasarkan keperluan.
Universiti awam Malaysia telah mengikut sistem kuota kemasukan sejak 1970an dengan majoriti diperuntukkan kepada pemohon Bumiputera. Walaupun sebahagiannya sudah dimansuhkan sejak tahun 2000, ia masih wujud dalam bentuk sistem matrikulasi, kata Lee.
Majoriti pelajar Bumiputera kini memasuki universiti menerusi kolej matrikulasi atau program asasi yang mana terdapat 90% kuota Bumiputera.
Lee juga berkata terdapat keperluan untuk “skim yang lebih formal bagi membantu mereka yang kekurangan dari segi sosioekonomi untuk pengajian di peringkat ijazah.
“Biasiswa boleh memberi ganjaran dan menggalakkan pencapaian, dengan pendanaan berkadar dengan keperluan kewangan,” katanya.
Pemilihan berdasarkan bangsa
Lee turut maklum bahawa dalam bidang lain seperti perjawatan sektor awam dan pengambilan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), terdapat keutamaan Bumiputera terutamanya dalam pengurusan atasan.
Dalam perkembangan perusahaan, Lee berkata terdapat titik kecacatan bagi Bumiputera dalam kontrak perolehan awam.
Dalam laporannya, Lee mencadangkan keutamaan bagi golongan yang kurang bernasib baik di semua bidang di bawah proses pemilihan berasaskan keperluan yang “logik dan praktikal, tidak mengira etnik”.
Bagaimanapun, beliau juga berkata pemilihan berdasarkan merit perlu diperkenalkan berdasarkan kemampuan dan daya saing Bumiputera.
“Apabila kita berfikir tentang isu menangani hak milik Bumiputera, ia akan selalu menjadi sama ada golongan minoriti mengatakan mereka tidak boleh mengambilnya lagi, atau majoriti mengatakan bahawa mereka tidak memerlukannya lagi.
“Akhirnya, sistem keutamaan Bumiputera perlu memberi kuasa kepada Bumiputera agar mereka mengatakan bahawa mereka cukup diberi kuasa dan mereka tidak memerlukan rejim keutamaan ini lagi,” katanya. – 13 Disember, 2017.
Komen