Kes dadah di Bollywood rancak, ramai bintang dipanggil polis


Padukone, 34, salah satu bintang terkemuka Bollywood, dipanggil awal minggu ini untuk disoal siasat oleh Biro Pengawalan Narkotik (NCB) di Mumbai. – Gambar AFP, 26 September, 2020.

POLIS India memanggil bintang Bollywood Deepika Padukone untuk memberi keterangan berhubung kes dadah berikutan kematian pelakon Sushant Singh Rajput.

Rajput ditemui mati di apartmennya pada Jun, langsung mencetus spekulasi bekas kekasihnya, pelakon Rhea Chakraborty menjadi punca Rajput membunuh diri menggunakan dadah, selain dikatakan disihir dengan ilmu hitam oleh bekas kekasihnya itu.

Keluarga Rajput mempertikaikan laporan Rajput mengalami masalah kemurungan sebaliknya secara terbuka menuduh Chakraborty, 28, mencuri wang dan mengganggu mendiang.

Bagaimanapun, pelakon wanita itu yang berkeras menafikan tuduhan itu telah diburu oleh media dan juga ahli keluarga mendiang sejak berbulan-bulan lalu.

Akhirnya pada awal September Chakraborty ditangkap kerana dituduh membeli ganja untuk Rajput. Dia kemudian dibebaskan dengan ikat jamin.

Kisah itu menarik perhatian pihak berkuasa India untuk menyiasat penggunaan dadah dalam industri Bollywood itu.

Sehubungan itu, Padukone, 34, salah satu bintang terkemuka Bollywood, dipanggil awal minggu ini untuk disoal siasat oleh Biro Pengawalan Narkotik (NCB) di Mumbai.

Selain itu pelakon wanita Sara Ali Khan, Shraddha Kapoor dan Rakul Preet Singh turut dipanggil membantu siasatan.

Kenyataan Singh diambil Jumaat lepas. Kapoor dan Khan dijangka muncul memberi keterangan kepada NCB hari ini.

Awal minggu ini, saluran TV TimesNow menyiarkan sebahagian perbualan WhatsApp mengenai pembelian hash (sejenis dadah dari ganja), dengan mendakwa bahawa kedua-dua orang yang berbual itu adalah Padukone dan pengurusnya.

Sementara itu, Pengarah Karan Johar, yang juga menjadi sasaran saluran TV dan pengguna media sosial sejak Rajput meninggal dunia, mengeluarkan kenyataan semalam menolak dakwaan bahawa penggunaan dadah berleluasa ketika pengarah itu membuat parti di rumahnya tahun lalu. – AFP, 26 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen