Berikan pelarian wanita kerja supaya kurang keganasan rumah tangga, kata Tenaganita


Gan Pei Ling

Faktor kewangan kukuh penyebab pelarian wanita lebih berdaya tahan berhadapan dengan keganasan rumah tangga, kata ketua pengarah Tenaganita Glorene A. Das. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Disember, 2017.

FAKTOR kewangan kukuh penyebab pelarian wanita lebih berdaya tahan berhadapan dengan keganasan rumah tangga, kata ketua pengarah Tenaganita Glorene A. Das.

“Pelarian wanita yang juga pencari nafkah lebih dihormati dalam masyarakat mereka,” kata Glorene kepada wartawan ketika acara memperingati 16 hari aktivisme antarabangsa terhadap keganasan berasaskan jantina di ibu pejabat Tenaganita di Petaling Jaya hari ini.

Malah, tambahnya, pemimpin di dalam masyarakat pelarian sangat menghormati wanita kerana merekalah yang menjaga periuk nasi keluarga.

Bermula 1 Mac, Malaysia telah membenarkan pelarian Rohingya dari Myanmar untuk bekerja secara sah.

Sehingga 31 Mei tahun ini, seramai 150,204 pelarian dan pencari suaka dari 59 negara telah berdaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian di Malaysia (UNHCR).

Myanmar (133,725) merupakan paling ramai diikuti pelarian dan pencari suaka dari Pakistan (3,548), Sri Lanka (2,328), Yaman (2,095), Somalia (2,062), Syria (1,980), Iraq (1,461), Afghanistan (1,082), Palestin (698) dan Iran (440).

Walaupun kini Malaysia membenarkan pelarian wanita Rohingya bekerja, namun kepercayaan budaya tempatan masih menjadi sempadan bagi mengecapi kebebasan ekonomi dan kehidupan bebas daripada keganasan.

Kajian dibuat oleh Tenaganita dan University of Colorado Institute of Behavioural Science anatara Mac dan Mei tahun ini mendapati semua 30 Rohingya dewasa di Gombak, Selangor percaya bahawa wanita patut mengikut telunjuk suami dan kebenaran untuk bekerja.

Lebih 90% daripada 15 wanita yang ditemui berkata mereka telah didera secara fizikal atau secara lisan oleh pasangan mereka.

Hanya 40% daripada wanita itu percaya memang hakikat wanita untuk didera, namun begitu juga 73% lelaki yang berpendapat sama.

60% daripada wanita dan semua lelaki percaya bahawa tiada gunanya bercerita kepada orang lain mengenai isu penderaan.

Penemuan ini merupakan fasa pertama untuk dua tahun kajian yang didanai oleh Biro Penduduk, Pengungsi dan Migrasi Amerika Syarikat.

Lagi tiga fasa kajian termasuklah mereka kempen komunikasi bagi memperkasa wanita Rohingya di Malaysia. – 13 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen