PENDIRIAN Umno dan Muafakat Nasional jelas untuk menolak Anwar Ibrahim dan DAP bagi membentuk kerajaan baharu menggantikan Perikatan Nasional, kata Annuar Musa.
Bekas setiausaha agung Umno itu juga berkata Anwar nampaknya “dijadikan umpan” pihak tertentu supaya pilihan raya umum baharu diadakan.
“Saya percaya Anwar telah dijadikan umpan untuk meminta PRU disegerakan.Tak lebih dari itu.Itu namanya politik,” katanya di Twitter, pagi ini.
“Siapa memancing dan siapa dipancing belum tahu. Yang pasti Umno dan MN mempunyai pendirian yang jelas, no Anwar no DAP.”
Setiausaha agung BN itu merujuk kepada pengumuman Anwar pada Rabu yang beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu.
Anwar bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah sokongan diterimanya atau nama wakil rakyat yang beralih untuk menyokongnya.
Susulan itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan wakil rakyat partinya dan BN terhadap kerajaan PN Muhyiddin Yassin.
Zahid juga berkata Umno tidak boleh menghalang sesiapa yang mahu menyokong Anwar.
PN juga mengeluarkan kenyataan ditandatangani antaranya oleh Annuar, berkata ia akan terus menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.
Umno bukan sebahagian daripada PN tetapi kekal berada dalam kerajaan persekutuan menerusi Muafakat Nasional yang ditubuhkan parti itu dan PAS, September tahun lepas.
Pada Ogos lalu, Bersatu yang diterajui Muhyiddin turut menyertai MN.
Annuar juga berkata Umno tidak akan menghalang sesiapa yang mahu menyertai Anwar.
“Sesiapa yang hendak ikut mereka, sila. Yang nak ikut MN, sila.” – 25 September, 2020.
Komen