PEMUDA PKR hari ini mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk meletak jawatan bagi membuka jalan kepada Anwar Ibrahim.
Mereka mahu Muhyiddin melepaskan jawatan secara terhormat selepas Presiden PKR mendakwa mempunyai majoriti cukup untuk membentuk kerajaan persekutuan baharu.
Naib Ketua Pemuda PKR Syed Badli Shah Syed Osman berkata pengakuan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mengesahkan beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kini memberikan sokongan kepada Anwar membuktikan Muhyiddin sudah hilang sokongan majoriti sebagai perdana menteri.
“Muhyiddin perlu melepaskan jawatan perdana menteri secara terhormat setelah terbukti dia hilang sokongan majoriti.
“Dia perlu mengikut langkah bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang meletak jawatan selepas hilang sokongan (pada Februari),” katanya.
Bagaimanapun Zahid telah mengesahkan bahawa ada beberapa ahli Parlimen di dalam partinya tidak berpuas hati dan menentang kerajaan Perikatan Nasional.
Susulan pengumuman Anwar, Muhyiddin pula berkata beliau kekal menjadi perdana menteri kerana masih memegang majoriti di Dewan.
Beliau juga mendesak Anwar membuktikan dakwaanya dan menunjukkan jumlah sokongan sebelum mendakwa kerajaan Perikatan Nasional sudah tumbang. – 25 September, 2020.
Komen