GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) dijangka meraih kemenangan besar pada pilihan raya negeri Sabtu ini, menurut Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata jangkaan itu disandarkan kepada kebersamaan dan permuafakatan pemimpin-pemimpin di dalam GRS selain sokongan padu rakyat sewaktu jelajah kempen di Negeri di Bawah Bayu ini.
“Dalam siri kempen di Sabah dan tempat saya lawati, nampaknya sokongan rakyat Sabah pada calon GRS begitu jelas.
“Ribuan tunjukkan pernyataan, sokongan dan rasa sukacita untuk perubahan besar pada Sabtu ini iaitu pembentukan sebuah kerajaan negeri baharu di Sabah,” katanya disambut dengan tepukan ratusan hadirin di ceramah perdana GRS di Kampung Sendil, Putatan, malam ini.
Turut hadir Presiden MCA Wee Ka Siong, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Jeffrey Kitingan, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Yong Teck Lee, Pengerusi PN Sabah Hajiji Noor dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah Arthur Joseph Kurup.
Selain itu turut kelihatan, Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid, Naib Presiden PAS Senator Idris Ahmad, Setiausaha Agung (SUA) PAS Takiyuddin Hassan, SUA Bersatu Hamzah Zainuddin, SUA Parti Bersatu Sabah (PBS) Jahid Jahim dan calon (PN-Bersatu) DUN Petagas Arsit Sedi.
GRS terdiri daripada gabungan PN, Barisan Nasional (BN) dan PBS.
Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata kehadiran begitu ramai pemimpin parti gabungan di dalam GRS pada ceramah mega malam ini juga membuktikan rakyat Sabah mempunyai pilihan terbaik bagi memilih kerajaan yang benar-benar mewakili mereka untuk pembangunan dan pentadbiran lebih baik dan sehaluan bersama Putrajaya.
“Malam in agak bersejarah dan penting dalam siri jelajah PRN Sabah. Saya kagum dan bangga dengan kehadiran anda semua.
“Inilah petanda awal parti GRS akan mencapai kemenangan besar. Kita harus rasa yakin. Inilah kesempatan yang diberikan dalam sistem demokrasi berparlimen yang mana penentu arah tuju berada di tangan rakyat Sabah. Sekarang, terserah kepada kebijaksanaan rakyat Sabah sendiri,” katanya.
Muhyiddin berkata kebersamaan semua parti besar di dalam GRS ini yang lebih besar daripada Warisan Plus, jelas menunjukkan keyakinan kepada rakyat Sabah untuk membuat pilihan tepat Sabtu ini.
Rakyat Sabah akan memilih kerajaan negeri baharu Sabtu ini dengan 1.12 juta pengundi layak menentukannya pada pilihan raya kali ini yang melibatkan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri. – Bernama, 24 September, 2020.
Komen