MULAI hari ini semua warga asing yang memasuki negara ini perlu membayar RM4,700 untuk menjalani kuarantin mandatori selama 14 hari, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
Ini termasuk penduduk tetap (PR) yang kembali ke negara ini.
Warga asing dan pemegang PR tidak akan diberi subsidi oleh kerajaan Malaysia.
Mereka akan menanggung kos kuarantin sepenuhnya, kata Ismail yang juga menteri pertahanan.
Mereka yang berkongsi bilik dalam tempoh kuarantin perlu membayar tambahan RM700 setiap seorang.
Kanak-kanak di bawah umur enam tahun dikecualikan.
Ismail berkata dalam kos keseluruhan RM4,700 itu, RM2,600 untuk caj operasi tetap manakala bakinya RM2,100 untuk kos penginapan.
Keputusan ini dibuat oleh Badan Pengurusan Bencana Nasional (Nadma) pada 18 September.
Sementara itu Ismail berkata untuk warganegara Malaysia subsidi sebanyak RM2,600 akan diberi.
“Mereka hanya perlu membayar kos penginapan sebanyak RM2,100 seperti yang dinyatakan sebelum ini sementara kos operasi sebanyak RM2,600 akan ditanggung oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mereka yang melancong ke Malaysia diwajibkan menjalani ujian Covid-19 dan kuarantin wajib selama 14 hari di kemudahan yang ditentukan oleh kerajaan.
Seramai 33,534 individu telah tiba di negara ini dan ditempatkan di 67 hotel dan lapan premis lain termasuk institusi latihan awam (ILA) dari 24 Julai hingga 23 September.
Lebih 8,000 orang menjalani perintah kuarantin wajib sementara 103 yang lain dimasukkan ke hospital.
Negara ini melaporkan 147 jangkitan baharu Covid-19 semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes 10,505 dengan 770 kes aktif.
Tiga kematian dilaporkan menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 133 kes. – 24 September, 2020.
Komen