RAKYAT Sabah sangat skeptikal kepada apa sahaja bentuk mesej politik, dakwaan dan kempen menjelang pilihan raya negeri Sabtu ini, menurut laporan badan pemikir.
Analisis media sosial oleh Institut ISEAS-Yusof Ishak, yang dijalankan tidak lama selepas pembubaran DUN Sabah, mendapati isu “katak” hangat hangat diperkatakan dalam kalangan pengguna internet.
“Katak” adalah istilah digunakan rakyat Sabah bagi menggambarkan wakil rakyat yang melompat dari satu parti ke parti lain.
Dapatan dalam laporan “Sabah Elections 2020: Sentiments Trending on Social Media” turut menyertakan petikan pandangan dan komen dalam ruang media dalam talian negeri itu.
“Ramai yang sering mengingatkan orang ramai bagaimana kesetiaan ahli politik dan parti berubah sebelum ini, dan apa sahaja yang dijanjikan kepada rakyat hanya bersifat sementara.
“Memandangkan ahli politik atau parti sesuka hati boleh beralih sokongan, maka pengundian hanyalah satu prosedur, dan pemenang mutlak bukan ditentukan di tangan pengundi,” kata laporan itu.
Analisis yang dijalankan mendapati banyak wacana dalam talian di Sabah sebaik sahaja DUN dibubarkan pada 30 Julai lalu, selepas 13 wakil rakyat beralih sokongan kepada gabungan Perikatan Nasional (PN).
Isu lompat parti, peranan tentera siber dan perpecahan politik yang semakin ketara antara Malaysia Timur dan Barat menjadi kebimbangan utama pengundi Sabah.
Menjelang pilihan raya negeri Sabah pada Sabtu ini, Warisan Plus dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) teruk dikecam pengguna media sosial, terutamanya rakyat di negeri itu. – 24 September, 2020.
Komen