Dakwaan Anwar beri tekanan kepada Muhyiddin, kata Kit Siang


Lim Kit Siang berkata pendedahan Anwar bahawa beliau mempunyai majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan telah memberi tekanan kepada Muhyiddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2020.

PEMIMPIN DAP Lim Kit Siang berkata dakwaan Anwar Ibrahim mempunyai majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan telah memberi tekanan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Muhyiddin sendiri tidak tahu berapa lama dia akan terus menjadi perdana menteri bahkan sebagai perdana menteri pintu belakang.

“Perhitungan politik berubah setiap minit, kerana apa yang relevan dan dapat disokong dalam masa sehari mungkin tidak begitu relevan serta dapat disokong pada hari lain,” kata ahli Parlimen Iskandar Puteri dalam satu kenyataan hari ini. 

Semalam Anwar mendakwa kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Muhyiddin telah jatuh kerana beliau mempunyai majoriti meyakinkan untuk mengambil alih Putrajaya.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah sokongan apabila diasak oleh pemberita pada sidang media di Le Meridien Hotel in Kuala Lumpur tengah hari semalam.

Presiden PKR itu berkata beliau telah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa, tetapi ditangguhkan berikutan Seri Paduka mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Katanya, butiran lanjut mengenai jumlah sokongan akan didedahkan selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong. 

“Tiba-tiba Malaysia ada dua perdana menteri pada satu masa yang sama – perdana menteri di pejabat Muhyiddin Yassin dan perdana menteri yang menunggu Anwar Ibrahim,” kata Lim.

Lim berkata usaha Muhyiddin untuk mempertahankan kedudukannya selepas pengumuman Anwar semalam adalah buruk.

“Muhyiddin menyifatkan Anwar seperti menggertak tetapi Muhyiddin tidak berani menyebut gertak memandangkan beliau sendiri adalah perdana menteri “pintu belakang” yang tidak sah,” katanya.

Sejurus selepas pengumuman Anwar, DAP dan Amanah mengeluarkan kenyataan menyatakan sokongan mereka.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan PAS, bagaimanapun berkata mereka menyokong Muhyiddin.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata ahli partinya bebas menyokong Anwar.

DAP mempunyai 42 ahli Parlimen, Amanah mempunyai 11, PKR 38, Umno 41 dan GPS mempunyai 18. – 24 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen