Kit Siang terkejut Anwar dakwa dapat sokongan majoriti


Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang berkata beliau tidak bertemu Anwar sejak 14 September kerana berkempen di Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2020.

VETERAN DAP Lim Kit Siang terkejut dengan pengumuman Anwar Ibrahim, yang mendakwa mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata beliau tidak bertemu Anwar sejak 14 September kerana berkempen di Sabah bagi pilihan raya negeri pada Sabtu ini.

“Seperti juga orang lain, sidang media Anwar hari ini mengejutkan saya.

“Kali terakhir saya berjumpa Anwar sebelum ke Sabah berkempen untuk calon Warisan Plus… apabila Anwar tegaskan yang beliau tidak berhubung dengan bekas pemimpin Umno seperti Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi dan juga pemimpin PAS untuk mendapatkan semula mandat rakyat yang dirampas melalui ‘Langkah Sheraton’ pada Februari sehingga tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Anwar hari ini mendakwa beliau mendapat sokongan majoriti kukuh daripada majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu. 

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah sokongan apabila diasak oleh pemberita pada sidang media di Le Meridien Hotel in Kuala Lumpur tengah hari tadi.

Presiden PKR itu berkata beliau telah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa, tetapi ditangguhkan berikutan Seri Paduka mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Katanya, butiran lanjut mengenai jumlah sokongan akan didedahkan selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong. 

Sejurus pengumuman tersebut, DAP dalam satu kenyataan berkata parti itu akan menyokong Anwar sebagai perdana menteri jika ahli Parlimen Port Dickson itu mempunyai cukup majoriti membentuk kerajaan.

Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah, mempunyai 91 ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Ini kali kedua Anwar mendakwa mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen, kali pertama pada 16 September 2008.

Susulan pengumuman Anwar siang tadi, Barisan Nasional dan Perikatan Nasional mengeluarkan kenyataan menolak dakwaan beliau dan mengulangi sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Muhyiddin dalam satu kenyataan berkata beliau masih perdana menteri yang sah.

Menurutnya, beliau kekal sebagai perdana menteri selagi Anwar tidak membuktikan mempunyai sokongan majoriti. – 23 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen