RAKYAT Sabah perlu menolak parti yang akan merosakkan negeri dengan cuba menjadi kerajaan pintu belakang,” kata Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri berkata, walaupun beliau menyokong Warisan plus, beliau tidak akan ke Sabah untuk berkempen.
“Mereka yang lompat pun tidak tunjuk perasaan tidak puas hati dengan kerajaan Warisan. Sekarang tumpuan Warisan tentulah kepada PRN dan segala perancangan dan pentadbiran negeri akan terganggu.
“Saya harap rakyat akan pilih semula parti Warisan sebagai kerajaan,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.
Dr Mahathir berkata Warisan merupakan parti yang benar-benar mewakili rakyat Sabah dan aspirasinya.
“Undilah parti Warisan dan parti yang mengguna simbol Warisan supaya Sabah mendapat semula kerajaan pilihan rakyat.”
Beliau berkata pilihan raya negeri tidak sepatutnya berlaku kerana rakyat Sabah sudah memilih kerajaan mereka pada 2018.
“Namun kerajaan persekutuan mahu merampas kerajaan negeri yang diberi mandat oleh rakyat Sabah.
“Ini salah kerana ia merampas hak rakyat Sabah untuk memilih kerajaan mereka.
“Dan cara yang mereka (Perikatan Nasional) gunakan bertentangan dengan demokrasi,” katanya.
Dr Mahathir berkata PN membeli wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat Sabah.
“Jutaan ringgit ditawarkan kepada Adun untuk keluar parti dan tumbangkan kerajaan.
“Jika ini cara PN untuk jadi kerajaan rakyat akan hilang hak mereka untuk memilih kerajaan.”
Beliau berkata sekiranya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sayangkan Sabah, mengapa beliau rampas kerajaan negeri yang mereka pilih.
“Ini bukan masanya untuk politik lompat parti dan politik wang.
“Sebaliknya kita perlu fokuskan kepada pandemik Covid-19 dan ekonomi.”
Menurutnya, rakyat Sabah terjejas teruk akibat pandemik.
“Ia menjejaskan perniagaan dan ramai yang hilang pekerjaan.
“Warisan membantu mereka yang perlukan bantuan namun kini mereka perlu berdepan pilihan raya,” katanya.
Dr Mahathir berkata mereka sepatutnya memfokuskan kepada rakyat namun jutaan ringgit terpaksa dibelanjakan untuk pilihan raya yang sepatutnya dibelankakan untuk mereka.
“Pilihan raya akan memburukan lagi pandemik kerana perhimpunan dan kempen akan mendedahkan orang ramai kepada virus.
“Ada yang akan sakit dan mungkin meninggal dunia. Sebelum isu ini Warisan menjalankan tugas dengan baik. Kes Covid-19 adalah rendah.”
Beliau turut menggesa rakyat Sabah agar memberi peluang kepada Warisan untuk meneruskan apa yang mereka lakukan.– 23 September, 2020.
Komen