Kluster baharu Covid-19 dikesan di Sabah 


Ragananthini Vethasalam

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster berkenaan yang setakat ini merekodkan tiga kes positif.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2020.

SABAH melaporkan satu lagi kluster baharu jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah kluster aktif negeri itu kepada lapan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kementerian masih menyiasat punca jangkitan kluster berkenaan yang setakat ini merekodkan tiga kes positif.

Pesakit indeks kluster itu merupakan seorang wanita berusia 72 tahun yang dikenali sebagai Udin yang disahkan positif koronavirus selepas menjalani ujian saringan di Klinik Kesihatan Merotai di Tawau.

“Dua lagi kes positif dikesan pada 22 September, 2020 menerusi ujian kontak,” katanya.

Tambahnya, kedua-dua pesait berkenaan adalah warga Filipina.

Dua kes tanpa gejala kini dirawat di Hospital Tawau.

Setakat tengah hari ini, 128 individu disaring yang mana 71 daripadanya negatif.

Baki 54 individu lagi masih menunggu keputusan.

Pihak berkuasa turut menjalankan proses disinfeksi di lokasi yang mempunyai kaitan dengan kluster berkenaan.

Kluster lain di negeri berkenaan termasuk kluster Benteng Lahad Datu, Laut, Pulau, Selamat, Bakau, Kuarters dan Bangau-Bangau yang mula dikesan sejak awal bulan ini mencetuskan lonjakan kes Covid-19 di negeri itu. – 23 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen