PAS cabar Anwar dedah senarai nama ahli Parlimen 


Aminah Farid

Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu tetap menyokong kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2020.

TIMBALAN Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man mencabar Anwar Ibrahim mendedahkan nama ahli-ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya untuk membentuk kerajaan.

“Saya cabar Anwar dedahkan nama ahli-ahli Parlimen yang sokong beliau,” katanya di Putrajaya hari ini.

Beliau turut mengesahkan PAS berdiri teguh menyokong kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“PAS akan terus menyokong kepimpinan Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional,” tegas Tuan Ibrahim, yang ditemui selepas majlis di Kementerian Alam Sekitar hari ini.

Tambah beliau, kesemua 18 ahli Parlimen PAS menyokong Muhyiddin.

Terdahulu hari ini, Anwar mendakwa beliau mendapat sokongan kukuh daripada majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu. 

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah sokongan apabila diasak oleh pemberita pada sidang media di Le Meridien Hotel in Kuala Lumpur hari ini.

Anwar berkata beliau telah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa, tetapi ditangguhkan berikutan Seri Paduka mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Katanya, butiran lanjut mengenai jumlah sokongan akan didedahkan selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong. 

Sejurus pengumuman tersebut, Amanah dan DAP mengeluarkan kenyataan menyokong presiden PKR itu.

Parti komponen PN menolak dakwaan Anwar, mengulangi kenyataan menyokong kepimpinan Muhyiddin.

Sementara itu, Muhyiddin dalam satu kenyataan berkata beliau masih perdana menteri yang sah.

Menurutnya, beliau kekal sebagai perdana menteri selagi Anwar tidak membuktikan mempunyai sokongan majoriti. – 23 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen