Permohonan GKP dibuka semula libatkan peruntukan RM600 juta, kata PM


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata pembukaan semula inisiatif GKP untuk permohonan baharu dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 200,000 peniaga mikro. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2020.

KERAJAAN bersetuju untuk membuka semula permohonan Geran Khas Prihatin (GKP) mulai 1 Oktober hingga 31 Oktober 2020 dengan melibatkan peruntukan hampir RM600 juta, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. 

Beliau berkata pembukaan semula inisiatif GKP untuk permohonan baharu dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 200,000 peniaga mikro.

“Semasa turun ke padang dan bergaul dengan usahawan di peringkat akar umbi, saya menerima rungutan bahawa ada yang tidak menerima bantuan tersebut kerana tidak sempat untuk membuat permohonan.

“Terdapat juga peniaga yang tidak memenuhi syarat terdaftar sebelum 1 Januari 2020,” katanya dalam pengumuman Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin yang disiarkan secara langsung hari ini.

Muhyiddin berkata mengambil kira maklum balas yang diterima, GKP akan dibuka kepada peniaga mikro yang berdaftar atau memegang lesen berniaga dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau Pihak Berkuasa Tempatan sehingga 31 Ogos 2020. 

Katanya bayaran disasarkan akan dibuat mulai 25 November 2020.

Di bawah Pakej Prihatin PKS (Tambahan) yang diumumkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), kerajaan telah menyediakan GKP khusus untuk membantu mereka meringankan beban kewangan akibat penularan wabak Covid-19.

Permohonan untuk GKP telah dibuka pada 1 Mei - 15 Mei 2020 dengan kadar bantuan berjumlah RM3,000 dan telah memberi manfaat kepada 545,000 peniaga kecil di seluruh negara.

Muhyiddin berkata kerajaan membuat penyaluran sebanyak RM1.63 bilion untuk tujuan ini. – Bernama, 23 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen