Anwar relevan bila jadi PM, kata Husam Musa


Diyana Ibrahim

Bekas naib presiden Amanah Husam Musa berkata jika Anwar Ibrahim tidak relevan pun parti sebenarnya masih memerlukan khidmat presiden PKR itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 23 September, 2020.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim hanya relevan apabila beliau menjadi perdana menteri, kata bekas naib presiden Amanah Husam Musa.

Beliau berkata jika Anwar tidak relevan pun parti sebenarnya masih memerlukan khidmat presiden PKR itu.

“Dalam konteks ini bila beliau jadi perdana menteri relevanlah, tapi kalau tak relevan pun kita masih boleh guna tenaga beliau.

“Macam saya, saya tak relevan tapi saya boleh bantu dari ceramah saya, kalau tidak ada Anwar datang kempen siapa nak dengar,” katanya dalam forum Sembang Santai di Bangsar anjuran Amanah Lembah Pantai.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan daripada peserta forum mengenai adakah Anwar masih lagi relevan diangkat menjadi calon perdana menteri kelapan.

Anwar Ibrahim hari ini mendakwa mendapat sokongan yang ‘kukuh dan meyakinkan’ untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN). 

Anwar berkata beliau telah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa, tetapi ditangguhkan berikutan Seri Paduka mendapat rawatan di Institut Jantung Negara.

Anwar sepatutnya menjadi perdana menteri kelapan namun Dr Mahathir yang ketika itu memegang jawatan tersebut meminta diberi sedikit masa.

Namun belum sempat peralihan perdana menteri dibuat, kerajaan PH tumbang selepas beberapa ahli Parlimennya membuat pakatan bersama Umno dan PAS membentuk Perikatan Nasional.

Polemik calon perdana menteri antara Dr Mahathir dan Anwar berterusan dalam pakatan pembangkang yang baharu PH Plus.

Oleh kerana tiada kesudahan dalam isu itu Dr Mahathir yang kini merupakan presiden pejuang menamakan Mohd Shafie Afdal sebagai calon perdana menteri.

Namun cadangan itu ditolak oleh PKR yang mahu Anwar menjadi calon perdana menteri.

Pada masa sama Husam berkata Anwar masih mempunyai pengaruhnya dan rakyat masih menyokong biarpun beliau dalam penjara.

Bahkan kerana pengaruh Anwar juga menyebabkan PAS yang ketika itu merupakan rakan sekutu Pakatan Rakyat menang besar dalam Pilihan Raya Umum 1999.

“Beliau bertanding di Port Dickson menang, bertanding di Permatang Pauh menang, beliau masuk penjara pilihan raya lepas bukan beliau yang tentukan calon tapi orang masih undi 

“Jadi sumbangan setiap pihak masih diperlukan termasuk Dr Mahathir bukan mesti kita bergaduh. Jadi nombor satu ketentuan tuhan, tapi tak semestinya beliau gagal empat penggal kita kena singkir beliau,” katanya. – 23 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen