Rakyat perlu tolak ahli politik mahu jejas kestabilan negara, kata Wan Saiful 


Diyana Ibrahim

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan menggesa rakyat menlak ahli politik yang cuba mensabotaj kestabilan negara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2020.

RAKYAT perlu menolak ahli politik yang sengaja mahu menjejaskan kestabilan politik dan mensabotaj usaha pemulihan ekonomi negara demi kepentingan peribadi, kata Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan.

“Saya menyeru semua pihak menolak mana-mana ahli politik yang sengaja mahu menjejaskan kestabilan politik dan mensabotaj usaha pemulihan ekonomi negara demi kepentingan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang mendakwa mendapat sokongan cukup daripada ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Wan Saiful berkata tindakan Anwar itu menunjukkan beliau bukan saja tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong bahkan tidak menghiraukan kehendak rakyat yang mahukan kestabilan.

“Masa kini adalah masa yang amat tidak sesuai untuk mewujudkan apa-apa masalah politik dalam negara.

“Tumpuan kita seharusnya mendoakan kesihatan Yang di-Pertuan Agong dan juga menjaga kebajikan serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Justeru itu Wan Saiful berkata Bersatu mendukung penuh dan setia bersama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk memberi fokus kepada usaha memulihkan ekonomi dan membantu rakyat jelata.

Terdahulu hari ini, Anwar mendakwa beliau mendapat sokongan kukuh daripada majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu. Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah sokongan apabila diasak oleh pemberita.

Katanya, butiran lanjut mengenai jumlah sokongan akan didedahkan selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, yang kini menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN). – 23 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen